KUALA LUMPUR: Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 pagi tadi memberi moral dan motivasi yang sangat besar kepada pasukan polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sambutan peringatan Hari Polis Ke-216 itu merupakan satu tempoh yang agak panjang.
Katanya, sambutan kali ini sudah tentunya pasukan polis membawa satu timbunan jasa yang besar dalam memastikan keselamatan negara keseluruhannya dijamin setiap masa.
“Hari ini sambutan polis kali ini menjadi lebih manis dengan menerima tetamu Tuanku Seri Paduka dan Raja Permaisuri selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya.
“Biasanya yang datang PM sahaja, sebab itu buat hari ini kehadiran Agong memberi impak yang besar kepada moral dan motivasi pasukan polis,” katanya.
Beliau berkata secara ringkas ketika ditemui dalam sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Kata beliau, bagi seluruh keluarga besar pasukan polis, saat ini tentunya menjadi saat yang sangat berharga yang akan mendorong pasukan polis untuk menjadi sebuah pasukan yang kompiten dan meningkatkan komitmen profesionalisme sesuai dengan tugas hakiki kepolisan.
Dalam perkembangan sama, beliau merakamkan setinggi tahniah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang mengetuai pasukan dan menunjukkan tahap sumbangan dan perkhidmatan yang cukup luar biasa selama ini.
“Terutamanya dalam suasana negara ketika ini yang sedang melalui fasa-fasa untuk melihat satu proses kestabilan politik yang berjaya kita capai seterusnya fokus kepada memulihkan kembali ekonomi serta melaksanakan fokus kepada agenda rakyat..kerana keamanan itu adalah kunci segala-galanya,” tegasnya.
Turut hadir memeriahkan istiadat itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Affendi Buang selain Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – UTUSAN