BAGAN DATUK: Pernah hendak ditutup kerana kurang murid, Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Rebak di sini semakin mencatat pertambahan bilangan murid dari tahun ke tahun.
Selepas hanya mempunyai tujuh orang murid pada sesi 2022, untuk sesi persekolahan tahun 2023 yang bermula Isnin lalu, sekolah itu mencatat pertambahan bilangan kepada lapan murid kesemuanya, apabila seorang murid Tahun 1 menjadi murid baharu di sekolah itu.
Walaupun hanya bertambah seorang murid bagi sesi tahun ini, ia amat bermakna buat lima guru yang bertugas di sekolah itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Guru Besar SK Tebing Rebak, Zaiton Hashim berkata, sekolah itu kini mempunyai lapan murid kesemuanya iaitu seorang murid Tahun 1, dua murid Tahun 2, masing-masing seorang murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 manakala Tahun 6 mempunyai dua murid.

Menurutnya, walaupun hanya seorang murid Tahun 1 mendaftar masuk di sekolah itu tahun ini, ia amat bermakna bagi mereka di sekolah itu.
“Asalnya sekolah ini pernah mempunyai 200 murid, namun lama-kelamaan menjadi semakin kurang malah pernah hanya ada seorang murid sahaja. Saya difahamkan berikutan keadaan itu ada cadangan sekolah ini ditutup.
“Tetapi atas kehendak ibu bapa di sini yang mahu anak mereka terus menuntut ilmu, mereka mahu sekolah ini dikekalkan, maka ia tidak ditutup. Alhamdulillah, semakin hari bilangan murid mencatat pertambahan, tahun ini ada lapan murid, bertambah seorang berbanding tujuh murid tahun lalu.
“Mungkin tahun depan ada pertambahan lagi dan tahun-tahun seterusnya. Doakan kami supaya murid di sekolah ini bertambah. Walaupun sekolah dan jumlah muridnya kecil tapi semangat kami sama sahaja seperti sekolah yang lain, doakan SK Tebing Rebak maju dan cemerlang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Zaiton yang baru enam bulan bertugas sebagai Guru Besar di sekolah itu mengakui sekolah tersebut amat istimewa baginya walaupun jumlah muridnya terlaku kurang berbanding sekolah lain.

Menurutnya, jumlah murid yang semakin bertambah juga atas faktor kesungguhan guru yang tetap bersemangat mengajar walaupun kurang murid.
“Mungkin orang kata kalau anak murid sikit, cikgu tak mengajar, tapi buktinya di sini murid-murid semua boleh membaca. Ini membuktikan kesungguhan guru mengajar kerana Allah.
“Kemudahan mengajar di sini ada kekurangannya tapi kami tak anggap itu sebagai halangan, di sini kami rasa kasih sayang, kami sedekahlah kalau tak cukup, kami guru dengan rela hati beri bantuan,” katanya.
Zaiton menyifatkan guru yang bertugas di sekolah itu sebagai istimewa kerana serba boleh.
“Saya rasa siapa yang dipilih ke sekolah ini adalah sekolah yang terpilih sebab di sini ada kasih sayang. Kami di sini memang saling memerlukan, kalau seorang tak ada, memang terasa. Ibu bapa, komuniti di sini sangat bagus, sentiasa memberi sokongan.
“Cuma kami mengharapkan ada guru khas untuk mata pelajaran bahasa Inggeris untuk murid di sini ,” katanya. – UTUSAN










