Halimah terima Sambutan Negara - Utusan Malaysia

Halimah terima Sambutan Negara

HALIMAH YACOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Singapura, Halimah Yacob diberikan Sambutan Negara di Istana Negara dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia.

Ketibaan beliau dan suami, Mohamed Abdullah Alhabshee pada pukul 11 pagi disambut Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Upacara sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Singapura dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, disusuli tembakan meriam sebanyak 21 das.

Presiden Singapura itu kemudian memeriksa kawalan kehormat membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (RAMD) Kem Wardieburn Setapak diketuai Mejar Mohd. Fadjrin Masor@Mansor.

Beliau kemudiannya bersama Seri Paduka menyempurnakan acara penanaman pokok gelam di halaman Istana Negara.

Sambutan Halimah dan Mohamed Abdullah kemudian disusuli Kunjungan Menghadap ke atas Seri Paduka dan seterusnya Majlis Santapan Negara bagi meraikan dan ahli delegasi.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet.

Lawatan Halimah yang dilantik ke jawatan tersebut pada 2017 lalu turut disertai Menteri di Pejabat Perdana Menteri serta Menteri Kedua Pendidikan dan Luar Negeri, Dr. Mohamad Maliki Osman serta Menteri Negara bagi Perdagangan dan Perindustrian, Low Yen Ling.

Ini merupakan lawatan pertama Presiden Singapura ke Malaysia dalam tempoh sedekad sejak kali terakhir pernah direkodkan Dr. Tony Tan Keng Yam pada 2013 dan kali keempat oleh pemimpin nombor satu negara itu yang bermula dengan Wee Kim Wee pada 1991 diikuti S.R. Nathan (2005) dan Tan Keng.

Kunjungan Halimah itu sebagai lawatan balas selepas menerima undangan Yang di-Pertuan Agong yang mengunjungi Singapura pada Oktober lalu.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan itu akan mengukuhkan lagi hubungan baik dan kerjasama pelbagai bidang antara kedua-dua negara.

Singapura adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2022, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM367.53 bilion (AS$83.53 bilion), meningkat sebanyak 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya