LOS ANGELES: Pelakon, pengarah dan penulis popular di Hollywood, Ben Affleck rungsing memikirkan cara untuk mengalihkan kereta mewah Mercedez-Benz miliknya, baru- baru ini.
Lapor Daily Mail, situasi itu disebabkan keretanya dihalang oleh kereta individu lain sehingga menyebabkan laluan keluar menjadi sempit.
Kejadian itu juga dirakamkan oleh orang awam yang kebetulan berada di kawasan itu sehingga tular dalam media sosial.
Menerusi rakaman itu, Affleck dilihat berdiri di bahagian luar keretanya sambil memegang telefon dan kemungkinan menunggu pemandu kereta yang menghalang laluannya.
Apabila melihat tiada sesiapa yang muncul, dia terus masuk ke dalam kereta dan cuba memandu kereta keluar dari tempat yang sempit itu.
Pelakon itu menggerakkan keretanya ke hadapan dan belakang dengan penuh hati-hati, dan berusaha memastikan tidak melanggar kenderaan lain.
Selepas usahanya tidak berjaya dan tidak dapat menahan sabar, tidak semena-mena dia merempuh kereta Nissan Altima yang berada di hadapan kenderaannya dan kereta Volvo di belakang.
Selepas beberapa percubaan, pelakon itu berjaya mengeluarkan keretanya dari tempat yang sempit dan terus memandu ke tempat lain.