Gerai PBT kecil, jauh daripada tumpuan

Gerai PBT kecil, jauh daripada tumpuan

Berniaga di kawasan meletak kereta antara yang menjadi pilihan penjaja kecil kerana lokasi strategik dan tiada kos sewa,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penjaja kecil mendakwa kebanyakan gerai perniagaan yang ditawarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada mereka tidak sesuai untuk berniaga iaitu sama ada saiz terlalu kecil atau jauh daripada tumpuan ramai.

Peniaga nasi berlauk, Salleh Ahmad, 70, yang berniaga di bulatan Puchong Permai mendakwa, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah merobohkan gerainya yang sudah 18 tahun diusahakan di kawasan itu.

Menurutnya, dia akur dengan tindakan MBSJ itu kerana sedar dia berniaga secara haram di tanah rizab milik kerajaan tanpa izin.

Ekoran itu katanya, dia memilih untuk menukar lokasi perniagaannya di Medan Selera MBSJ Puchong Permai selepas memperoleh lesen perniagaan.

“Namun begitu, setelah berniaga beberapa bulan di lot kedai makanan yang disediakan oleh MBSJ, didapati kawasan tersebut masih kurang mendapat sambutan daripada pengunjung,” katanya ketika ditemui.

Salleh berkata, jika dibandingkan ketika berniaga di Bulatan Puchong Permai, pendapatannya lebih banyak.

“Sekarang, untung yang saya dapat tidak macam dulu, lagipun kos barang basah meningkat sekarang,” tambahnya.

Sementara itu, seorang peniaga kecil yang hanya mahu dikenali sebagai Rashid memilih untuk berniaga di kawasan lot letak kereta sebuah masjid di sini.

Katanya, dia pernah ditegur Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana berniaga di kawasan tersebut dan disaran berrniaga di tapak yang sudah disediakan oleh majlis dengan sewa sebanyak RM180 sebulan.

“Setelah melihat kawasan niaga tersebut, saya dapati tapak yang ditawarkan agak sempit dan tidak luas kerana saya berniaga goreng-gorengan dan memerlukan ruang untuk memasak.

“Ruang diberi seluas satu lot tempat letak kereta dan terdapat persaingan juga dengan perniaga yang menjual jualan sama dengan saya,” katanya.

Jelas Rashid, dia terpaksa berniaga di kawasan itu untuk menampung kos sara hidup keluarga serta membayar gaji pekerjanya.

Katanya, dia berharap agar pihak tertentu dapat turun padang untuk melihat kesusahan yang dialami perniaga dan ada bantuan khas yang dapat diberi kepada mereka.

“Ada peniaga termasuklah saya terpaksa keluarkan modal sendiri terutamanya bagi gerai dan khemah niaga yang mencecah harga RM1,500.

“Sampai khemah sudah bocor dan usang, peniaga terpaksa bertahan untuk tidak membeli yang baru, sehinggakan apabila musim hujan perniagaan akan terganggu,” luahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN