PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM2 juta kepada syarikat e-dagang, MonSpace (M) Sdn. Bhd. dan pengasasnya, Datuk Seri Jessy Lai kerana memfitnah enam tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, notis rayuan itu difailkan semalam tidak lama selepas selesai mendengar keputusan penghakiman..
“Ya, saya sudah failkan notis rayuan semalam. Sekarang perlu menunggu keputusan bagi semua proses rayuan yang akan dijalankan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin memerintahkan Lip Eng membayar ganti rugi RM2 juta kepada syarikat MonSpace dan pengasasnya kerana memfitnah.
Hakim Datuk Akhtar Tahir turut memerintahkan Lip Eng membuat permohonan maaf dalam masa tujuh hari selepas kenyataan maaf itu dimuktamadkan.
Beliau memutuskan demikian selepas mendapati Lip Eng yang dinamakan sebagai defendan didapati bersalah memfitnah dan mencemarkan nama baik syarikat itu dan pengasasnya ketika prosidingsecara dalam talian.
Jessy dan MonSpace (plaintiff pertama dan kedua) memfailkan saman terhadap Lip Eng pada Jun 2019 kerana mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan memfitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahass Inggeris dan Cina bahawa syarikat tersebut menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur dari China.
Jessy berkata, Lip Eng membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace ke pejabatnya dan kemudian membuat laporan polis terhadapnya.
Susulan itu, Jessy mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk mengambil tindakan terhadapnya. – UTUSAN










