KUALA LUMPUR: Fokus UMNO yang mahu memperkukuh kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan tidak memberi kesan kepada penyatuan ummah.
Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya berpendirian soal penyatuan ummah perlu diteruskan dan dilaksana momentumnya.
Katanya, pelaksanaan itu juga tidak akan terkesan dengan kenyataan daripada Setiausaha Agung UMNO yang baharu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki itu.
Malah, katanya, rakyat boleh menilai dengan sendiri sama ada Pas bersungguh-sungguh mahu menyatukan ummah atau sebaliknya walaupun menolak penyertaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
“Semua tahu apakah kecenderungan UMNO buat masa sekarang ini, yang saya tahu perpaduan ummah tidak lagi menjadi agenda mereka.
“Oleh itu, saya mahu ucapkan selamat berjaya kepada UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. Nasi tak dingin, pinggan tak retak. Kenyataan itu tidak langsung membawa apa-apa kepada kami.
“Kami akan fokus kepada memperkuat Perikatan Nasional (PN) (untuk) mendapat sokongan besar dari orang Melayu dan bumiputera. Kalau itu yang disebut oleh Setiausaha Agung UMNO yang baharu, saya ucapkan selamat berjaya,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Tabung Makanan Mahasiswa Negara di Pejabat Agung Pas di sini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, UMNO fokus bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan bagi mewujudkan kerajaan stabil selain parti itu tidak lagi memikirkan soal Muafakat Nasional (MN).
Asyraf Wajdi berkata, ini selepas Pas mengambil pendirian tetap sebelum ini yang dilihat ‘mengkhianati’ UMNO dengan parti itu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Mengulas lanjut, Asyraf dalam masa sama turut mempersoal mengapa penyertaan Pejuang dalam PN ditolak jika masing-masing khususnya Pas memikirkan tentang penyatuan Melayu dan Islam.
Berhubung pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PN berkata, perkara itu diselesaikan secara dalaman.
Katanya, apa yang penting untuk PN adalah cuba untuk menang sebanyak mungkin kerusi.
“Tak penting bertanding banyak mana tetapi yang penting sebanyak mana kita menang,” katanya.
Katanya, Pemuda PN bagaimanapun tidak meletakkan sebarang sasaran penyertaan calon anak muda dalam PRN nanti.
“Dengan kejayaan calon-calon muda dalam pilihan raya umum lepas, saya fikir pimpinan PN sudah dapat menilai sendiri bagaimana sambutan anak muda dan pimpinan PN akan buat keputusan terbaik, kita akan selesaikan secara dalaman,” ujarnya. – UTUSAN