Filem pertama kutip lebih RM1 juta - Nik Amir Mustapha - Utusan Malaysia

Filem pertama kutip lebih RM1 juta – Nik Amir Mustapha

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Imaginur, Nik Amir Mustapha, meluahkan rasa gembira atas kejayaan filem berkenaan yang merekodkan kutipan RM3 juta selepas hampir dua minggu ditayangkan.

Nik Amir yang dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, dia tidak menjangka rekod kutipan filem berkenaan mampu pergi setinggi itu berikutan jalan ceritanya yang kompleks dan berat.

“Saya gembira kerana ini adalah filem pertama saya yang mencatat jumlah kutipan melebihi RM1 juta.

“Filem ini agak kompleks, saya tak sangka akan dapat sambutan. Perkara ini amat mengejutkan kami,” katanya.

Imaginur yang mula ditayangkan pada 23 Februari lalu menampilkan nama-nama besar seperti Beto Kusyairi, Diana Danielle, Datuk Rahim Razali, Fatimah Abu Bakar, Nadiya Nisaa dan ramai lagi.

Mengulas perkara sama, Nik Amir memaklumkan buat masa ini pihaknya tidak meletakkan apa-apa sasaran terhadap jumlah kutipan filem berkenaan di pawagam.

Katanya, dia cuma berharap agar penonton terus datang ke panggung untuk menyokong filem tersebut.

“Kutipan yang direkodkan sudah dianggap satu bonus buat pihak produksi, justeru kami bersyukur.

“Kami sedar, sambutan boleh reda bila-bila masa. Kami cuma berharap Imaginur dapat bertahan di pawagam selama yang mungkin,” jelasnya.

Disoal sama ada pihaknya mengatur perancangan untuk menambah tempoh tayangan, Nik Amir memaklumkan perkara itu tertakluk kepada pilihan pawagam.

“Saya serahkan perkara ini kepada pihak pawagam untuk tentukan, sama ada mahu sambung (tempoh tayangan) atau tidak.

“Apa pun kami tetap berterima kasih kepada mereka kerana membantu kami dengan menambah slot tayangan dan membuka lebih banyak dewan panggung untuk filem ini.

“Hasil kutipan yang direkodkan juga banyak dipengaruhi bantuan dan sokongan mereka,” tambahnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN