Empat lelaki ditahan bantu siasatan kejadian merusuh

Empat lelaki ditahan bantu siasatan kejadian merusuh

TANGKAP layar video tular menunjukkan sekumpulan lelaki didakwa merusuh di Semenyih, Kajang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kejadian merusuh di hadapan sebuah restoran di Seksyen 5, Bandar Rinching, Semenyih di sini, Khamis lalu. 

Ibu pejabat Polis Daerah Kajang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian merusuh tersebut pada pukul 9.55 malam. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila seorang lelaki dalam keadaan mabuk telah datang ke sebuah gerai menjual burger sambil bercakap dengan perkataan kesat serta membaling tin minuman keras ke arah gerai tersebut.

Katanya, akibat perbuatan itu berlaku perselisihan faham antara suspek dengan peniaga gerai terbabit. 

“Kejadian menjadi lebih tegang apabila lelaki yang mabuk itu telah mengeluarkan senjata pisau serta parang dan cuba menyerang peniaga gerai menyebabkan berlaku rusuhan melibatkan campur tangan individu lain bagi meleraikan kejadian tersebut. 

“Susulan itu, polis telah menahan empat lelaki berusia antara 28 hingga 41 tahun bagi membantu siasatan.

“Kesemua tangkapan ditahan reman selama empat hari sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana perbuatan merusuh menggunakan senjata di tempat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambahnya, pihak polis turut merampas satu bilah parang, pisau boleh laras dan topeng kain muka milik suspek dipercayai mabuk semasa kejadian. 

“Bagaimanapun, tiada kecederaan serius dalam kejadian itu.

“Orang awam diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang tidak benar mengenai video yang telah tular mengenai kejadian ini sehingga boleh menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat.

“Kejadian telah dapat diselesaikan dan masih dalam siasatan pihak polis,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut juga boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Hazrani Hashim di talian 019-7944442 bagi membantu siasatan. 

Tular video berdurasi dua minit 50 saat menunjukkan pergaduhan membabitkan beberapa individu berhampiran beberapa gerai.

Individu yang merakam video terbabit mendakwa seorang daripada lelaki tersebut turut melanggar keretanya selain memegang parang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.