Dua premis digempur curi air guna paip haram - Utusan Malaysia

Dua premis digempur curi air guna paip haram

PENGUATKUASA SPAN memeriksa sambungan paip haram di premis itu di Pulau Indah, Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kegiatan haram dua premis curi air melalui sambungan paip secara tidak sah di sekitar Pulau Indah di sini, tumpas selepas digempur Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam.

Serbuan bermula pukul 10.30 pagi itu melibatkan sebuah gudang simpanan kontena serta depoh lori selain bangunan asrama serta tempat pengumpulan barang lusuh dan mendapati dua premis itu melakukan sambungan paip jenis polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) berukuran 25 milimeter (mm).

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd. Fazil Ismail berkata, operasi penguatkuasaan secara berasingan itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

“Premis pertama iaitu gudang simpanan kontena dikesan menggunakan paip itu tanpa melalui meter sah manakala tempat pengumpulan barang lusuh melakukan sambungan dari paip utama Air Selangor. 

“Tindakan pemotongan bekalan diambil serta merta dan pihak premis telah diberikan notis pemberitahuan kesalahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Mohd. Fazil, siasatan awal mendapati dua premis itu disyaki melakukan sambungan itu masing-masing sejak 2021 dan sembilan bulan lalu, justeru kesemua sambungan haram bagi kegunaan dua premis itu turut disita untuk tindakan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655). Kesalahan berkenaan memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

“SPAN komited menjalin kerjasama dengan operator bekalan air bagi mencegah aktiviti haram seumpama itu yang menjadi penyumbang kepada Kadar Air Tidak Terhasil (NRW). Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat mengenai penyambungan bekalan air menyalahi undang-undang boleh menghubungi talian 03-8317 9333 atau emel ke [email protected],” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya