Dera madrasah, pendakwaan mahu rakam kenyataan pegawai perubatan - Utusan Malaysia

Dera madrasah, pendakwaan mahu rakam kenyataan pegawai perubatan

Madrasah
MUHAMMAD Izzat Irfan Taib bersama Zuraina Zamri ditemui pemberita selepas prosiding mahkamah berhubung kes penderaan seorang remaja dekat sebuah madrasah di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret hari ini menunda keputusan representasi terhadap pertuduhan seorang wanita yang didakwa membuat laporan palsu berhubung anaknya menjadi mangsa dera oleh seorang guru dekat sebuah madrasah di sini pada tahun lalu.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali membuat keputusan tersebut selepas mendengar permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya Elyza Amira Habeeb Rahman yang mahu mendapatkan kenyataan daripada pegawai perubatan.

Permohonan tersebut dibuat selepas satu laporan perubatan terhadap remaja berusia 20 tahun itu dikeluarkan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada 8 Januari lalu.

Majistret kemudian menetapkan tarikh baharu pada 13 April ini untuk mengemukakan rekod kenyataan daripada pegawai perubatan terbabit dan memutuskan kes terhadap Zuraina Zamri, 45, bagi memutuskan status kes.

Terdahulu, peguam mewakili tertuduh, Muhammad Izzat Irfan Taib memfailkan representasi bersama laporan perubatan untuk menggugurkan dakwaan membuat laporan palsu.

Sementara itu, beliau ketika ditemui pemberita memaklumkan, laporan perubatan menunjukkan berlaku kecederaan dan trauma terhadap anak tertuduh yang didakwa didera oleh seorang guru dekat Madrasah Darussolihin.

Menurutnya, laporan tersebut juga sejajar dengan dakwaan asal Zuraina yang sebelum ini membuat laporan polis berhubung kejadian dera dihadapi anaknya dekat madrasah terbabit pada 21 Ogos tahun lalu.

“Laporan perubatan sudah dapat pada tahun lepas sebelum Disember, patutnya ada perkembangan ini, tetapi pendakwaan sendiri katakan tunggu kenyataan daripada pegawai perubatan.

“Laporan perubatan menunjukkan ada kecederaan dan trauma. Dari HTAR. Sejajar dengan dakwaan asal pengadu, tidak bercanggah,” katanya.

Malah, laporan perubatan tersebut juga dilihat menafikan dengan kenyataan daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam, Mohd. Iqbal Ibrahim yang memaklumkan mangsa membuat pemeriksaan di Hospital Shah Alam.

Dalam kenyataan tersebut, beliau memaklumkan anak tertuduh membuat laporan polis pada 23 Ogos menyatakan tidak dipukul oleh guru berkenaan, namun sekali lagi membuat laporan memaklumkan perkara yang bertentangan dengan laporan pertama.

“Pemeriksaan lanjut dibuat terhadap mangsa di Hospital Shah Alam dan mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa,” ujarnya.

Terdahulu, Zuraina mengaku tidak bersalah dan membayar wang ikat jamin sebanyak RM2,000 pada 26 September 2022 selepas dituduh membuat laporan palsu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya