Capai resolusi tubuh Pusat Biodiversiti Malaysia  - Utusan Malaysia

Capai resolusi tubuh Pusat Biodiversiti Malaysia 

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia (MBC) yang diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri adalah antara resolusi dicapai pada mesyuarat pertama Majlis Biodiverisiti Negara (MBN) hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia bertujuan meningkatkan pengurusan biodiversiti negara dan merealisasikan penubuhan Muzium Sejarah Alam Semulajadi Malaysia.

“Ia antara lain menekankan kepentingan mengarusperdanakan pengurusan biodiversiti melalui pendekatan keseluruhan negara dengan keputusan ini seterusnya akan dibentangkan untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama MBN di Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, mesyuarat berkenaan antara lain bersetuju dengan terma rujukan MBN dan penyelarasan ‘Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework’ ke dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025.

Katanya, mesyuarat sama turut membentang tiga Kertas Pertimbangan dan empat Kertas Makluman, merangkumi inisiatif konservasi biodiversiti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai status konflik manusia dan hidupan liar di Semenanjung, cadangan usaha konservasi spesies pokok Gelam, pelaksanaan akses dan perkongsian faedah di Sabah serta projek Sarawak Reef Ball,” katanya.

MBN adalah platform utama bagi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membincang hala tuju dan strategi biodiversiti pada peringkat kebangsaan.

Pada mesyuarat sama, Fadillah turut melancarkan Pelan Induk Rangkaian Ekologi (PIRECFS) bagi menghubung, mengekalkan, memelihara serta memulihara kawasan hutan yang terpisah di kawasan Central Forest Spine (CFS) dekat Semenanjung.

“Saya yakin kesepakatan bagi memperkukuh pengurusan biodiversiti melalui MBN akan meningkatkan lagi imej dan reputasi negara dalam perkara demikian yang akan menjadi senjata ampuh dalam mematahkan kempen negatif oleh pihak luar.

“Kempen negatif pihak luar ini bertujuan mencemarkan nama baik negara khususnya apabila menyentuh mengenai sektor perladangan dan komoditi negara,” katanya.

Mesyuarat berkenaan turut disertai tujuh menteri dan timbalan menteri; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr, Jeffrey G Kitingan; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn serta 11 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Semenanjung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya