Cagaran simpanan KWSP untuk yang terdesak sahaja - PM - Utusan Malaysia

Cagaran simpanan KWSP untuk yang terdesak sahaja – PM

ANWAR Ibrahim (tengah) melawat pameran pada Sambutan Hari Air Sedunia di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Cadangan agar simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan sebagai cagaran untuk pinjaman bank hanya dibenarkan untuk individu yang terdesak memerlukan wang segera sahaja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan kekal dengan keputusannya tidak membenarkan lagi pengeluaran wang KWSP sebelum tempoh yang dibenarkan.

“Kita tidak bagi (dikeluarkan lagi), kita dah kata dah keluarkan (sebelum ini), ini bukan lagi pandemik Covid-19, orang pun sudah (boleh) bekerja.

“Tetapi ada beberapa kes yang mendesak, sebagai contoh, dia ada wang (simpanan KWSP), tetapi dia tidak boleh bayar yuran pendidikan anaknya di luar negara (sekarang) jadi kes seperti itu ditelitilah.

“Tetapi, kita tidak benarkan dia ambil daripada KWSP, syarat-syarat itu kita kekalkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2023 di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan kerajaan bercadang memperkenal kaedah yang membenarkan pencarum membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai kolateral atau cagaran kepada bank.

Semalam, KWSP dalam kenyataannya memaklumkan sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan penggunaan baki caruman Akaun 2 sebagai sokongan untuk pencarum membuat pinjaman peribadi.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga akan berbincang dengan KWSP sama ada cadangan itu bercanggah atau tidak dengan Akta KWSP 1991.

Ditanya mengenai kenyataan beberapa pihak bahawa cadangan itu tidak bijak, beliau menjelaskan: “Biasalah (pandangan orang). Kalau ikutkan saya, tidak bagi dah, tetapi ada beberapa kes yang diteliti itu yang munasabah, (sebagai contoh), dia ada RM1 juta simpanan KWSP, tetapi dia terdesak, jadi kes-kes seperti ini harus kita beri pertimbangan.”

Mengenai isu permintaan kerajaan Pulau Pinang untuk membeli air dari Perak beberapa tahun lalu yang masih buntu, Anwar memaklumkan perkara itu masih dalam perbincangan antara kedua-dua kerajaan negeri dibantu oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau memaklumkan, kerajaan Perak sudah tentu memberi keutamaan kepada keperluan negeri dan perancangan serta unjuran penggunaan penduduknya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

“Perak tentu memberi keutamaan kepada negerinya, itu tidak salah, jadi kita tengok adakah benar dan ada lebihan air yang banyak, unjuran untuk keperluan lima tahun, 10 tahun, itu semua dikaji secara ilmiah dan saintifik, kemudian baru buat keputusan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya