SHAH ALAM: Seorang buruh binaan mengaku salah terhadap kesalahan merogol teman wanitanya yang masih di bawah umur sehingga melahirkan anak, dua tahun lalu.
Tertuduh yang juga di bawah umur ketika melakukan kesalahan tersebut membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki berkenaan yang kini berusia 19 tahun dituduh merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun sembilan bulan sehingga melahirkan anak dalam sebuah rumah pekerja milik syarikat tempatnya bekerja di Batu 14, Puchong, pada pukul 10 malam sekitar Disember 2021.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun berserta sebatan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa dikatakan tinggal bersama tertuduh sejak Oktober 2021 selepas bertengkar dengan ibunya di rumah mereka yang juga terletak di Puchong.
Pada hari kejadian, kira-kira pukul 5 petang, mangsa didakwa menghubungi tertuduh sebelum mengikutinya lari dari rumah untuk tinggal bersama anak bongsu daripada lima beradik itu di pangsapuri tersebut.
Namun pada 24 Oktober 2021, bapa mangsa membuat laporan polis sebelum pasukan penguat kuasa mendapati gadis berkenaan tinggal bersama tertuduh selama tiga bulan sehingga Disember.
Dalam tempoh tersebut, Orang Kena Tuduh (OKT) itu dikatakan melakukan kesalahan tersebut beberapa kali sehingga Mei 2022. Mangsa kemudian memberitahunya dia hamil lima bulan disebabkan hubungan berkenaan.
Mangsa kemudian dibawa ke rumah keluarga tertuduh di Saujana Puchong, namun dijaga dengan baik oleh remaja lelaki itu serta ibunya serta mendapat rawatan sepanjang kehamilan.
Kemudian, pada 16 September 2022, pada kira-kira pukul 11 malam, mangsa melahirkan seorang anak-anak lelaki dekat Hospital Selayang sebelum salah seorang pegawai perubatan yang merawatnya membuat laporan polis berkenaan pesakit kanak-kanak yang bersalin.
Lantaran itu, polis membuat tangkapan terhadap pesalah muda terbabit pada 19 September dan bayi lelaki berkenaan disahkan sebagai anak kandungnya berdasarkan laporan oleh Jabatan Kimia pada 7 November.
Rasyihah kemudian menetapkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun berserta cagaran RM5,000 daripada seorang penjamin di bawah Seksyen 293(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
Tertuduh juga diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas tempoh tersebut sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – UTUSAN










