Bukan saya sebarkan video gaduh - Elly Afizahwati

Bukan saya sebarkan video gaduh – Elly Afizahwati

ELLY Afizahwati Abdul Jalil hadir di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam untuk memfailkan tuntutan perceraian semalam. - FOTO/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Isteri bekas Ke­tua Polis Negara, Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil mena­fikan beliau menyebarkan ti­ga klip video pergaduhannya dengan suaminya, Tan Sri Musa Hassan dalam media sosial, beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, beliau me­ngakui merakam video insiden berkenaan dengan tujuan untuk mempertahankan diri serta menjadi bukti yang boleh digunakannya dalam proses perceraiannya ketika ini.

“Saya tidak berniat untuk menularkan video berkenaan, apatah lagi untuk menjatuhkan reputasi mana-mana pi­hak.

“Saya tahu mengenai penularan video tersebut daripada adik saya yang melihatnya di aplikasi TikTok,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses memfailkan pencerai­annya dengan Musa di Bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) di sini, semalam.

Elly Afizahwati menambah, beliau tidak pasti individu bertanggungjawab menularkan video berkenaan, namun enggan menuduh mana-mana pihak yang membuat perkara itu.

Bagaimanapun, beliau me­ngecam pihak yang menularkan video tersebut kerana mendedahkan wajah anaknya.

“Pihak peguam Musa membuat laporan polis terhadap saya (berhubung penularan video itu) dan saya telah dipanggil oleh pihak Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk memberi kete­rangan (berhubung hal terbabit).

“Saya serahkan telefon bim­bit yang mengandungi ra­ka­man insiden berkenaan dan menyerahkan kepada pi­hak polis untuk menjalankan siasatan. Pada waktu yang sama, saya juga telah membuat laporan polis terhadap Tan Sri (Musa) yang memukul saya ketika kejadian tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, Polis Kuala Lum­­pur mengesahkan membuka kertas siasatan berhu­bung tiga video mirip Musa yang didakwa sedang bertengkar dengan seorang wanita di­syaki isterinya, yang tular di media sosial sejak Selasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN