Buang al-Quran: Polis kenal pasti syarikat percetakan

Buang al-Quran: Polis kenal pasti syarikat percetakan

AZMI ABU KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis mengesan syarikat percetakan yang terlibat mencetak al-Quran yang ditemukan dibuang di sebuah longkang di Jinjang, di sini pada 19 Februari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, syarikat yang terlibat membuat tempahan al-Quran berkenaan juga telah dikenal pasti bagi siasatan lanjut.

Kata beliau, al-Quran yang ditemukan dibuang di dalam longkang itu dicetak oleh syarikat yang terletak di Kelantan.

“Siasatan masih dijalankan, setakat ini, keterangan seramai 10 individu termasuk dua individu iaitu wakil syarikat percetakan dan syarikat yang membuat tempahan bagi naskhah al-Quran berkenaan.

“Justeru masyarakat diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada 28 Februari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengingatkan mana-mana pihak yang ingin melupuskan al-Quran supaya mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa agama terlebih dahulu.

Tindakan itu bagi mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak berwajib misalnya jabatan agama sebelum pelupusan dilakukan bagi menjaga kesucian al-Quran.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta membantu polis dengan tampil atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Keterangan lapan individu telah diambil berhubung kejadian terbabit.

Terdahulu, media melaporkan, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita berusia 52 tahun.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, dilaporkan berkata, sebuah klip video mengenai penemuan al-Quran itu tular di platform media sosial TikTok.

Pengadu sedang beriadah bersama suaminya ternampak sebuah beg berwarna biru di dalam longkang berdekatan dengan kolam takungan di tasik itu.

Hasil pemerhatian, pengadu mendapati senaskhah al-Quran dalam keadaan terbuka dan terkeluar dari beg berkenaan.

Pengadu kemudian meminta bantuan daripada seorang lelaki yang berada berdekatan untuk membawa naik beg terbabit.

Katanya, semua naskhah al-Quran berkenaan dibawa ke Masjid Annas, Kampung Selayang Lama, sebelum laporan polis dibuat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN