Bot nelayan tempatan dikendali PATI Myanmar ditahan - Utusan Malaysia

Bot nelayan tempatan dikendali PATI Myanmar ditahan

SEBUAH bot nelayan tempatan yang dikendalikan lima PATI warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia di perairan Muka Head, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Muka Head, di sini semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan bot nelayan tempatan kelas C itu dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Tanjung kira-kira pukul 12.10 tengah hari.

”Bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu ditahan pada kedudukan 32.7 kilometer barat laut Muka Head.

”Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan lima warga Myanmar termasuk tekong berumur antara 26 hingga 47 tahun yang kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen bot,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

”Bot serta kesemua kru ditahan bersama kira-kira 500 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

”Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di zon maritim Malaysia.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.