KUALA LUMPUR: Ahli UMNO boleh berbeza pandangan namun diingatkan untuk sentiasa akur dan patuh terhadap keputusan yang diambil Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting walaupun beliau sendiri meraikan pandangan antara pemimpin parti.
“Saya sangat meraikan perbezaan pendapat, berlainan pandangan. Terbukti dalam beberapa banyak (mesyuarat) MKT yang saya pengerusikan.
“Seperkara lagi, saya amat hormati pada (mesyuarat) majlis pimpinan tertinggi dengan membiarkan perbezaan pandangan dan pendirian.
“Tetapi apabila MKTi buat keputusan, kita (kena) akur dan patuh pada keputusan dilakukan,” katanya berucap di majlis pengumuman calon UMNO pemilihan peringkat Pusat di sebuah hotel dekat sini malam tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta semua anggota parti memilih calon yang baik dan mampu membuktikan kepada orang ramai bahawa UMNO sebagai parti pilihan.
Beliau juga mahu semua pihak berkempen mengikut garis panduan yang ditetapkan sepanjang pemilihan parti, selain akan menjelajah ke seluruh negeri bagi memastikan proses pencalonan berjalan dengan lancar.
“Kempenlah dengan cara baik mengikut garis panduan diberikan. Ibu pejabat yang saya ketuai akan pergi ke setiap negeri untuk adakan pencalonan ini. Kami mahu kemeriahan sebegini dipertahan dan digunakan tata etika untuk diikuti sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN










