'Biarlah Tuhan, pengundi sahaja tahu niat mereka' - Warisan 

‘Biarlah Tuhan, pengundi sahaja tahu niat mereka’ – Warisan 

DARELL LEIKING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Warisan (Warisan) menyerahkan kepada rakyat untuk menilai tindakan dibuat wakil rakyat yang sanggup berpaling tadah dan menyertai parti politik lain ketika Warisan tidak memiliki banyak kelebihan sebagai pembangkang di Sabah.  

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presidennya, Datuk Darell Leiking berkata, beliau tidak mahu mengulas lebih berkenaan isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti, sebaliknya membiarkan mereka ‘menikmati’ jalan hidup yang telah dipilih.  

Meskipun keluar parti, hakikatnya, wakil-wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya negeri sebelum ini kerana tiket Warisan dan tidak didorong oleh perkara lain.

“Semakin banyak kami bercakap tentang tindakan mereka, mereka semakin gembira. Jadi, lebih baik berdiam diri sahaja dan fokus kepada mempertahan, memperkasa dan memperjuang prinsip parti. 

“Biarlah mereka menikmatinya, sedangkan mereka tahu parti yang memberi kemenangan dalam pilihan raya. 

“Biarlah Tuhan dan pengundi sahaja yang tahu apa niat sebenar mereka. Yang penting sekarang ialah Warisan menumpukan kepada perjuangan parti dalam arena politik ini. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang terlibat (keluar parti),” katanya ketika dihubungi. 

ADUN Petagas, Datuk Awang Sah Awang Sahari baru-baru ini dalam sidang media di Kota Kinabalu dilaporkan mengambil keputusan keluar parti dan akan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bagi memberi khidmat lebih baik kepada rakyat di kawasannya. 

Beliau keluar parti kurang lima bulan selepas dilantik sebagai Bendahari Agung Warisan, 13 Oktober 2022.

Sebelum Awang Sah, tiga ADUN Warisan iaitu Norazlinah Arif (Kunak); Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) mengumumkan keluar parti pada 6 Februari lalu dan menyokong kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. 

Rentetan itu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini mendakwa ADUNnya ‘dibeli’ pihak luar supaya keluar daripada parti itu, namun salah seorang wakil rakyat kerajaan Sabah, Lo Su Fui (Ahli Parlimen Tawau) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.  

Ketika ini, belum timbul sebarang dakwaan sama oleh pimpinan Warisan susulan keputusan Awang Sah yang menyertai kerajaan negeri. 

Warisan kini hanya mempunyai 15 ADUN di Sabah, serta satu di Selangor manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui kerajaan negeri mendapat sokongan majoriti 49 ADUN. DUN Sabah mempunyai 73 ADUN dipilih dan enam ADUN dilantik menjadikan keseluruhan 79 ADUN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN