Bekalan sayur-sayuran, telur dijamin cukup sepanjang Ramadan, Syawal - Utusan Malaysia

Bekalan sayur-sayuran, telur dijamin cukup sepanjang Ramadan, Syawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rakyat dinasihatkan tidak perlu risau kerana bekalan sayur-sayuran dan telur menjelang bulan Ramadan dan Syawal cukup di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, kementeriannya peka dan sentiasa bersedia dengan langkah proaktif bagi memastikan bekalan makanan itu mencukupi.

Katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga telah mengambil beberapa langkah penting dalam usaha menjamin bekalan tersebut.

“Setakat ini kementerian peka dengan isu bekalan ini. Kita mendapati bekalan masih mencukupi untuk pasaran pada masa ini.

“FAMA sebagai salah satu agensi di bawah kementerian ini telah memainkan peranan proaktif contohnya mereka pernah membawa telur dari negeri lain ke negeri Pantai Timur yang memerlukan supaya keperluan setempat dipenuhi.

“Jadi saya mahu beritahu rakyat, jangan risau sangat. Kita selalu memainkan peranan terbaik,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat FAMA di Selayang.

Mendepani cabaran dalam segmen keterjaminan makanan, FAMA bersedia dalam memastikan ketersediaan agromakanan atau rantaian pemasaran agromakanan hingga ke pengguna terus diperkasa.

Sehingga Februari lalu, FAMA telah membangunkan 1,568 outlet peruncitan dan 57,108 usahawan dan mencatatkan nilai jualan RM387 juta.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Datuk Mohamad Mustahapa Awang, berkata, FAMA meningkatkan perkhidmatan dalam membantu para usahawan tani untuk memasarkan produk pertanian melalui outlet-outlet peruncitannya yang berada di seluruh negara di samping membantu pengguna untuk ketersediaan produk agromakanan di pasaran sentiasa mencukupi.

“Mengambil contoh situasi kekurangan bekalan komoditi telur ayam, FAMA mengambil langkah proaktif dalam mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan berbincang untuk memasarkan komoditi telur ayam ke seluruh negara.

“Dari November 2022 sehingga 21 Mac 2023, FAMA telah mengedarkan sejumlah 18.06 juta biji telur ayam ke seluruh negara dan dipasarkan melalui 369 outlet peruncitan FAMA,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya