ALOR SETAR: Masalah bekalan ayam dijangka turut melanda utara tanah air menjelang Syawal ini ekoran isu kekurangan anak ayam yang dialami penternak terutama di Kedah.
Pengarah Urusan Ayam Bismi di negeri ini, Mazlina Kamarudin berkata, pihaknya turut mengalami masalah untuk menambah bekalan ayam bagi menampung permintaan yang dijangka tinggi ketika Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Setakat ini Ayam Bismi belum mengalami masalah kekurangan tetapi penternak lain sudah menyatakan bekalan ayam akan meruncing kerana anak ayam susah dapat.
“Itu yang kami risaukan kerana syarikat kami juga meminta bekalan anak ayam yang lebih untuk Ramadan dan Syawal ini tetapi dikawal, pengeluar anak ayam tidak bagi lebih sebab mereka kata anak ayam tak cukup. Oleh itu kita jangka menjelang Syawal nanti ayam memang berkurangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurut Mazlina, selain faktor kekurangan bekalan anak ayam, harganya yang dikatakan tinggi juga menjadikan semakin ramai penternak tersepit.
“Anak ayam terlalu mahal sekarang iaitu RM3.40 seekor berbanding RM1.80 hingga RM2.40 sebelum ini. Harga ini tak turun-turun jadi banyak penternak mengurangkan bekalan di ladang.
“Isu lain juga dikaitkan dengan ketidaktentuan industri ini termasuk subsidi yang katanya disambung namun belum dapat dituntut dari Januari sehingga sekarang. Banyak penternak kurangkan bekalan sebab tidak mahu tanggung kerugian,” katanya.
Kata beliau, bekalan ayam berkurangan itu juga dikaitkan dengan masalah cuaca panas dan hujan yang tidak menentu ketika ini sekali gus mengakibatkan pelbagai penyakit serta membantutkan tumbesaran anak ayam.-utusan










