Ban baharu tak dibina, petani kerugian lebih RM100,000 - Utusan Malaysia

Ban baharu tak dibina, petani kerugian lebih RM100,000

YUSZAINI Yahya menunjukkan kebun sayur-sayurannya yang musnah ditenggelami banjir di Kampung Spang Loi, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Penduduk Kampung Spang Loi, dekat sini merayu kerajaan menyegerakan kerja-kerja membina semula ban yang pecah sejak setahun lalu bagi mengurangkan kesan banjir.

Seorang penduduk, Yuszaini Yahya, 49, mendakwa, banjir yang berlaku baru-baru ini dapat dielakkan jika ban yang pe­cah itu dibina semula.

“Pada Januari tahun lalu, banjir yang melanda kampung saya di luar jangkaan menyebabkan saya kerugian melebihi RM100,000 selepas rumah dan bengkel motosikal ditenggelami air.

“Ban Sungai Spang Muar berhampiran kampung pecah dan air melimpah membanjiri kawasan kampung kira-kira pukul 2.30 pagi. Penduduk kampung memang tak sangka banjir melanda kampung ini, selepas kali terakhir banjir pada 11 tahun lalu.

“Kali terakhir banjir teruk adalah pada 2011. Pada 2013 banjir kecil sahaja sebab kewujudan ban itu mengurangkan kesan banjir, tapi tak sangka pula tahun lalu ban itu boleh pecah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Yuszaini mendakwa, peruntukan sudah diluluskan tahun lalu untuk membina ban baharu tetapi hingga kini masih belum disiapkan menyebabkan berlaku kejadian banjir baru-baru ini yang telah memusnahkan kebun sayur serta menenggelamkan peralatan rumahnya.

Isterinya, Sarinah Ibrahim, 44, berkata, kebun yang baru ditanam dengan sayur-sa­yuran itu menyebabkan mereka me­ngalami kerugian sebanyak RM12,000 akibat kerosakan pagar dan semua tanaman seperti timun, sawi dan kacang panjang serta perkakasan lain yang musnah.

“Selain kebun, rumah kami juga tenggelam dan hanya tinggal bumbung. Semua barang habis tenggelam.

“Musim banjir sekarang tidak kira hujung tahun atau awal tahun. Bila-bila boleh banjir jika hujan tidak berhenti. Kami mohon sangat jika ban baharu nanti dibina dapat mengurangkan impak banjir dan sangat berharap pihak pertanian dapat membantu kami untuk bangkit kembali,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Menurutnya, penduduk me­rayu kepada kerajaan menyegerakan projek menaik taraf ban sepanjang 1.5 kilometer di kampung itu bagi menangani isu banjir berulang.

Pada 4 Januari tahun lalu, kerajaan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah meluluskan peruntukan segera RM5 juta bagi pembinaan ban di Kampung Spang Loi, di sini me­libatkan kerja naik taraf ban sedia ada sepanjang 1.5 kilometer.

Peruntukan bagi meninggikan ban dari aras 5.2 meter kepada 6.2 meter bagi menampung air banjir yang meningkat berbanding semasa direka bentuk sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.