KUCHING: Menjelang Adilfitri saban tahun, tempahan kek lapis antara juadah yang ‘wajib’ disajikan di atas meja buat tetamu yang berkunjung.
Peniaga kek lapis pula tidak melepaskan peluang dari siang ke malam menyediakan tempahan yang diterima dari dalam mahupun luar negeri ini.
Namun situasi itu berbeza tahun ini disebabkan bekalan bahan mentah meningkat menyebabkan tempahan terhadap kek lapis kurang mendapat sambutan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pembantu jualan Mama Su Kek House, Alif Aizat Ibrahim berkata, tempahan dan pembelian pada tahun ini kurang mendapat sambutan kerana dipercayai peningkatan harga jualan disebabkan kos bahan mentah yang digunakan juga meningkat.
“Peniaga terpaksa menaikkan harga jualan kek lapis kerana bahan mentah seperti telur, tepung dan lain-lain kos turut meningkat. Perkara seperti ini tidak dapat dielakkan kerana pembekal telah meningkatkan harga.
“Tidak dinafikan kuasa beli tetap ada, namun pembelian tahun ini dilihat secara berhemah mungkin disebabkan kos harga barang yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di premis jualan kek lapis di tebingan Sungai Waterfront di sini, semalam.
Perkara sama turut dikongsikan peniaga kek lapis Asma Cake House Nurul Ain Awang Ismail yang berkata, disebabkan kos bahan mentah meningkat, peniaga kek lapis terpaksa menaikkan harga jualan.
“Kalau dulu rata-rata peniaga jual RM10 sebungkus, tetapi sekarang minimum harga yang dijual adalah RM13 sehingga RM25 sebungkus. Kami turut menerima tempahan dari luar negeri dengan menggunakan penghantaran melalui kurier.
“Ini kerana stok yang ada kadangkala tidak dapat melepasi jualan kuasa beli penduduk di bandar ini sahaja,dan terpaksa menggunakan kaedah penjualan ke negeri-negeri lain,” katanya. – UTUSAN











