PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kesemua anggota ASEAN supaya bersatu padu dalam segala isu yang dihadapi rantau ini.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu negara-negara Asia Tenggara hanya mengambil sikap berpeluk tubuh setiap kali berdepan isu yang mendesak.
Katanya, ini berdasarkan sejarah penubuhan ASEAN serta kemajuan dan perubahan dari segi kerjasama antara negara tetangga di rantau ini.
“Perserikatan ini mesti terus terpahat atas hujah berkongsi identiti yang sama meski rencam bangsa dan budaya. Konsep ini dicerakinkan dengan baik oleh ‘The Great Malayan’ Dr. José Rizal dalam ‘The Philippines a Century Hence’ tatkala negara Filipina tertubuh kuat meski berlainan kepulauan, bahasa, budaya dan etnik.
“Saya amat berharap ASEAN terus berpadu dan kukuh dalam menyikapi isu-isu mendesak terutamanya di rantau ini kerana berdiam diri tatkala berdepan kezaliman bukanlah pilihan,” katanya menerusi akaun media sosialnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum berjudul ‘30 Years After The Asian Renaissance: Strategic Takeaways for ASEAN di Universiti Filipina sempena lawatan rasmi di Filipina.
Universiti tersebut turut menganugerahkan ijazah Doktor Kehormat (Honoris Causa) selaku universiti nombor satu di negara tersebut.
Dalam pada itu, Anwar berharap hubungan antara Malaysia dan Filipina akan terus kukuh dari semasa ke semasa.
“Saya sering ke Manila di tahun-tahun lampau semasa masih sebagai seorang mahasiswa dan universiti ini adalah tempat yang akan pasti dikunjungi untuk perbincangan terkait pelbagai hal bersama sahabat-sahabat di sini. Manila sangat istimewa dan bukanlah kota asing buat saya secara peribadi,” katanya. – UTUSAN