IPOH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihatkan agar memberi tumpuan terhadap kes mahkamah yang dihadapinya daripada membuat tohmahan kepada kepimpinan Kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan Ahli Parlimen Pagoh itu bahawa pendakwaannya satu bentuk pemangsaan politik terancang telah dijawab oleh Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Apa lagi dia nak kata, bagi saya dia tumpukan kepada kes mahkamah sajalah.
“Jawab di mahkamah, pertuduhan pun sudah dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2023 di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu semalam yang menyifatkan pertuduhan terhadapnya adalah satu ‘pertuduhan terancang’ dengan mendakwa keputusan untuk mendakwa beliau sebenarnya dibuat lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum siasatan dilengkapkan.
Berikutan itu, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan semalam menegaskan bahawa keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana orang adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan, dan bukan atas desakan mana-mana pihak atau faktor lain.
Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, ia susulan daripada tohmahan bahawa berlakunya pendakwaan terpilih (selective prosecution), bermotif politik dan penganiayaan (persecution) dalam pendakwaan kes baru-baru ini.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di atas empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan rasuah berjumlah RM232.5 juta.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin, 76, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menyalahgunakan kedudukan tersebut untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232,500,000 bagi parti tersebut.
Selain itu, beliau menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.
Beliau didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima wang tersebut daripada sebuah syarikat di antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022 di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stensen Sentral, Kuala Lumpur yang mana wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun parti.
Sementara itu, ditanya mengenai kedudukan Bersatu sebagai sebuah pertubuhan yang didakwa menerima wang rasuah seperti dalam pertuduhan tersebut, Anwar menyatakan ia terserah kepada pihak penguatkuasaan undang-undang negara.
“Itu ikut proses badan-badan penguatkuasaan, saya tidak masuk campur,” tegas beliau. – UTUSAN