KAJANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Tenaga Nasional (Uniten) bersama penuntut universiti itu, hari ini.
Uniten adalah universiti yang signifikan buat Perdana Menteri kerana anaknya, Nurul Izzah adalah alumni pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada 2004.
Beliau tiba di Uniten kira-kira 1 petang diiringi Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Kehadirannya disambut ribuan penuntut Uniten yang mahu bersalam dan bergambar dengan beliau sebelum menjamu selera makan tengah hari hidangan nasi putih dan sup tulang bersama barisan kepemimpinan tertinggi Uniten.
Anwar kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Uniten yang diimamkan pelajar tahfiz Uniten, Muhammad Fadzreen Muhamad Fadzil manakala khutbah disampaikan pensyarah tahfiz Uniten, Amaluddin Arshad.
Dalam pada itu, beliau enggan mengulas berhubung pengumumannya mengenai pengeluaran wang dengan jaminan cagaran bagi akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
KWSP sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahli sebagai sokongan untuk membuat pinjaman peribadi daripada sistem perbankan.
Institusi wang simpanan persaraan itu juga akan mempertimbangkan semua faktor yang relevan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar. – UTUSAN










