KANGAR: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Perlis giat melaksanakan tindakan penguatkuasaan undang-undang ke atas pemilik premis yang gagal menguruskan sampah dan sisa buangan mereka dengan sebaiknya.
Tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan di bawah Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Skim Bagi Sisa Pepejal Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian) 2018.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, premis-premis yang terlibat dengan penguatkuasaan itu membabitkan bangunan komersial perindustrian di seluruh Perlis.
“Usaha ini sedikit sebanyak akan membantu mengurangkan janaan sisa di tong-tong pusat apabila pemilik premis dapat menguruskan sisa mereka sendiri seperti mana termaktub di dalam peraturan ditetapkan,” katanya.
Fakhrul Anwar berkata, setakat ini, sebanyak 210 unit tong sampah telah dibekalkan buat seluruh penduduk Perlis dalam usaha bagi menangani isu limpahan sisa buangan di tong-tong pusat.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 34 unit tong sampah disumbangkan melalui hasil inisiatif kerajaan negeri menerusi Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
“Bagaimanapun menerusi kajian dan pemerhatian SWCorp bersama kerajaan negeri, bilangan tong-tong sampah berkenaan belum mencukupi bagi menampung keperluan semasa. Kerajaan negeri juga kini giat mengambil inisiatif dengan membina tapak-tapak tong sampah bagi menuju ke arah Perlis Go Clean,” katanya.
Fakhrul Anwar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong berkata, hasil kajian dijalankan mendapati kebanyakan sampah yang dibuang ke dalam tong sampah terdiri daripada sisa yang boleh dikitar semula.
Sehubungan itu beliau berkata, SWCorp mengambil inisiatif bagi menggiatkan promosi berkaitan aspek kitar semula melalui program Trash to Cash, Program Amal Jariah Melalui Barangan Kitar Semula di masjid-masjid dan menambah kemudahan pusat pembelian barangan kitar semula (Drive Thru Recycle Centre) di negeri ini.
“Masyarakat perlulah melaksanakan peranan masing-masing berkaitan pengasingan sisa ini seperti mana arahan berkaitan Pengasingan Sisa Dipunca di Bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) yang mewajibkan pengasingan sisa di tujuh negeri yang mengguna pakai Akta 672.
“Selain itu, pengasingan sisa domestik dan sisa boleh dikitar semula ini juga dapat membantu ke arah pengurusan yang lebih mampan dalam membantu rakyat negeri ini menjana pendapatan melalui penjualan barangan kitar semula,” katanya. – UTUSAN











