KUALA LUMPUR : Datuk Seri Ahmad Maslan menolak dakwaan terdapat usaha untuk menolak calon-calon antipresiden sehingga beliau terpaksa merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian yang dipegang oleh Datuk Ir. Hasni Mohammad sejak lebih 20 tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahmad sebalikya bersikap lebih optimis dengan menjelaskan beliau sudah 20 tahun menunggu untuk merebut jawatan berkenaan pada pemilihan UMNO kali ini.
“Kalau bukan arahan daripada Presiden sekalipun, saya akan tetap bertanding untuk jawatan itu,” katanya.
Menurutnya, sudah lebih 20 tahun Hasni menjadi Ketua Bahagian dan beliau yakin dapat melakukannya dengan lebih baik.
“Beliau mengambil alih jawatan Ketua Bahagian ketika berusia 40-an. Ketika itu, kami tiada tokoh dan merelakan untuk menerimanya sebagai Ketua Bahagian walaupun dia mewakili kawasan satu per empat Pontian dan saya pula tiga per empat dari Sungai Benut.
“20 tahun lalu kawasan tiga per empat Sungai Benut itu tidak ada tokoh dan saya ketika itu masih muda lagi, Kita sudah beri peluang, sekarang tiba waktunya giliran saya pula untuk tawarkan diri,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Ahmad yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan I, kini juga merupakan Ahli Parlimen Pontian serta Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian. – UTUSAN










