PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng tidak berdepan masalah untuk membayar ganti rugi RM2 juta untuk kes saman fitnah apabila berjaya meraih sumbangan sebanyak RM2.25 juta hanya dalam tempoh tiga hari.
Minggu lalu pemimpin DAP itu didapati bersalah kerana memfitnah dan mencemarkan nama baik syarikat e-dagang, MonSpace (M) Sdn. Bhd. dan pengasasnya, Datuk Seri Jessy Lai, enam tahun lalu.
Susulan itu, beliau melancarkan kempen mengumpul dana untuk membantunya membayar ganti rugi RM2 juta kepada syarikat itu pada Jumaat lalu.
“Kami telah mencapai RM2.25 juta, jadi sila jangan derma lagi. Saya berterima kasih kepada semua orang yang sudi membantu ketika waktu sukar. Saya cukup terharu.
“Juruaudit berlesen akan dilantik untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban terhadap derma yang dikutip. Saya berterima kasih kerana menyokong keadilan dan berdiri bersama saya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga berjanji, jika berjaya dalam rayuan untuk mengetepikan perintah ganti rugi tersebut, dana yang dikumpul tersebut akan disalurkan kepada badan kebajikan dan institusi pendidikan yang memerlukan bantuan.
Sebelum ini, Lip Eng berisiko diisytihar bankrap dan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat jika gagal membayar denda RM2 juta dalam tempoh tujuh hari seperti yang diperintah Mahkamah Tinggi.
Ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Lip Eng membayar ganti rugi RM2 juta kepada MonSpace dan pengasasnya kerana memfitnah.
Hakim Datuk Akhtar Tahir turut memerintahkan Lip Eng yang juga defendan tunggal membuat permohonan maaf dalam masa tujuh hari selepas kenyataan maaf itu dimuktamadkan.
Beliau bagaimanapun memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM2 juta itu dan beliau perlu membayar ganti rugi itu sebelum keputusan rayuannya diumumkan dalam saman fitnah sivil. – UTUSAN










