90 peratus peniaga masih terperangkap kategori mikro - Utusan Malaysia

90 peratus peniaga masih terperangkap kategori mikro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 90 peratus peniaga Melayu masih terperangkap dalam kategori mikro dan tiada upaya untuk berkembang lantaran kapasiti modal yang terhad.

Malah majoriti kaum itu masih mendapat gaji paras minimum meskipun kerajaan selama ini mendabik dada berjaya melahirkan beberapa jutawan Melayu.

Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, hal ini kerana agenda Bumiputera dilihat sebagai memenuhi matlamat politik dan bukannya ekonomi kerana sejak sekian lama program pembangunan sekadar retorik dan belum mampu memberi impak sebagaimana diharapkan.

Katanya, legasi kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal diteruskan menerusi pelan lanjutan akibat tekanan politik dalaman kumpulan pemerintah yang ingin sekadar membesar-besarkan kejayaan tidak seberapa di samping desakan pembangkang secara konsisten mahu menamatkan dasar pro afirmatif itu, akhirnya melahirkan sebuah program cetek dan pincang.

“Peruntukan besar saban tahun digunakan untuk melaksanakan jelajah, pesta dan karnival yang menjanjikan markah politik tinggi kepada para pemainnya. Usaha membina infrastruktur atau gagasan besar dengan impak ekonomi berjangka panjang dipandang sepi.

“Akibatnya, agenda memperkasa Bumiputera hanya gah di mata, ibarat ‘menang sorak, kampung tergadai’.

“MTEM suka untuk menyarankan agar Menteri Ekonomi lebih adil dan menyeluruh dalam membuat keputusan berhubung agenda pembangunan ekonomi Bumiputera, dan tidak terperangkap oleh naratif yang sempit dan berat sebelah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk saranan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli agar keseluruhan proses, pendekatan dan falsafah pembangunan ekonomi Bumiputera dikaji semula.

Ahmad Yazid berkata, MTEM mencadangkan beberapa perkara diambil kira sebelum keputusan dimuktamadkan dan antaranya melihat realiti daripada terlalu bergantung kepada nombor dan analisis berdasarkan keadaan sebenar mereka di bandar dan desa, tahap pendidikan dan jenis pekerjaan.

“MTEM mendesak agar kerajaan ketepikan dahulu perbezaan politik dalam menyusun semula dasar dan polisi Bumiputera. Kita sudah muak dengan pelbagai sesi libat urus, makmal dan kongres bertujuan mencari formula terbaik memajukan Bumiputera, tetapi sering kali terkandas oleh permainan politik sehinggakan setiap kali kerajaan bertukar, maka setiap kali jugalah dasar dirombak secara total.

“Selain itu, bantuan selain kewangan yang boleh diberikan bagi menambah nilai, disamping penggunaan teknologi bagi meningkatkan produktiviti. Apa sektor yang ketinggalan yang sedang dikuasai kaum lain yang perlukan lonjakan agar dapat kembali bersaing secara sihat?

“Buat golongan pekerja yang majoritinya Melayu, bagaimana memastikan mereka ditawarkan gaji bermaruah, serta membanteras amalan diskriminasi dalam sektor swasta tertentu,” jelasnya.

Katanya, MTEM juga mendesak agar kerajaan memberi tumpuan penuh dan segera terhadap isu Bumiputera dengan memperbaharui mandat Majlis Kemakmuran Bumiputera yang mesti diwakili oleh pemegang taruh dari setiap cabang kepentingan sosiopolitik, ekonomi, warisan dan agama.

“Majlis inilah yang sewajarnya memutuskan dasar dan hala tuju terbaik buat golongan Bumiputera. MTEM berharap agar isi kandungan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 serta Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 tidak terus dibakul-sampahkan, tetapi dimantapkan dan diperhalusi lagi dengan sasaran-sasaran yang lebih tuntas dengan semangat reformasi,” jelasnya.

Beliau menegaskan, sekiranya kerajaan tiada program-program pecutan khusus buat Bumiputera untuk suatu tempoh, maka Malaysia akan menjadi negara Madani buat golongan terpilih sahaja, tetapi menjadi ‘neraka’ buat sebilangan besar yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya