8 laporan diterima, polis siasat filem Mentega Terbang - Utusan Malaysia

8 laporan diterima, polis siasat filem Mentega Terbang

mentega terbang
KDN mengharamkan penayangan filem kontroversi, Mentega Terbang di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan berhubung filem Mentega Terbang yang mencetuskan kontroversi dengan jalan cerita yang didakwa mempersenda Islam.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, pihaknya setakat ini menerima lapan laporan manakala satu kertas siasatan sudah dibuka.

Menurutnya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman mengikut Seksyen 298A dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

“Kes masih dalam siasatan pihak USJT dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, filem indie Mentega Terbang yang ditayangkan di platform penstriman digital mencetuskan kontroversi dengan memaparkan jalan cerita yang didakwa bertentangan dengan agama Islam dan dimainkan oleh pelakon beragama Islam.

Filem arahan Khairi Anwar dan diterbitkan Tan Meng Kheng tersebut mula ditayangkan melalui platform penstriman Viu pada 19 Januari lalu dengan skrip ditulis bersama Khairi Anwar, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui.

Pada 1 Mac lalu, kandungan filem Mentega Terbang didapati terdapat pertentangan jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, beliau menerima pelbagai pandangan dan reaksi daripada masyarakat yang menyatakan kegusaran berhubung penayangan filem itu yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.

Beliau berkata, hasil penelitian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati bahawa filem itu terdapat pertentangan jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

“Justeru, saya mengarahkan pihak Jakim untuk meneliti secara keseluruhan kandungan filem terbabit termasuk diminta untuk mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tindakan dapat diambil berpandukan undang-undang.

“Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga sudah diminta untuk memanggil pihak yang terbabit dengan penerbitan filem itu untuk urusan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya