49 pengeluar, pengedar pelitup muka peroleh SIRIM - Utusan Malaysia

49 pengeluar, pengedar pelitup muka peroleh SIRIM

Pelitup muka
AHMAD Sabirin (dua kiri) menandatangani MOA bersama Pengarah Hannan Medispa, Datuk Dr. Mohd. Hannan Mohd. Yusof di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 49 buah syarikat pengeluar dan pengedar pelitup muka memperoleh sijil penandaan daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM QAS International).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SIRIM Berhad (SIRIM), Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, keperluan bagi pengeluar dan pengedar pelitup muka mendapatkan penandaan sijil adalah selaras dengan penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Pelitup Muka Bukan Perubatan) 2022 pada 1 Julai ini.

“49 syarikat ini menerima 67 sijil penandaan SIRIM, yang mana ada beberapa syarikat yang mendapat lebih dari satu sijil penandaan.

“Kita memberi sijil penandaan berdasarkan standard kita dan beberapa badan antarabangsa tetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara SIRIM dengan Hannan Medispa dan memorandum persefahaman (MoU) antara SIRIM dengan Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) di SIRIM Shah Alam, di sini, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminta pengeluar dan pengedar pelitup muka untuk mendapatkan sijil penandaan SIRIM.

Selari dengan penguatkuasaan perintah tersebut, kementerian itu juga akan mengeluarkan larangan import terhadap pelitup bukan perubatan yang tidak mempunyai standard perakuan seperti yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Ahmad Sabirin memaklumkan sebanyak 49 buah syarikat lagi sedang menunggu kelulusan daripada pihaknya bagi mendapatkan sijil penandaan itu.

“Mendapatkan sijil penandaan ini penting kerana SIRIM akan periksa setiap pelitup muka yang dijual pengeluar dan pengedar adalah selamat digunakan oleh rakyat Malaysia.

“Jadi, saya menyeru lebih banyak syarikat pengeluar dan pengedar untuk mendapatkan sijil penandaan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya