250 sukarelawan sertai program pemeliharaan penyu - Utusan Malaysia

250 sukarelawan sertai program pemeliharaan penyu

SEBAHAGIAN daripada peserta program 'Friends of Sea Turtles' yang bertujuan menyokong usaha-usaha pemeliharaan penyu di Taman Negara Teluk Bahang, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BALIK PULAU: Seramai 250 sukarelawan dari pelbagai agensi menyertai Program ‘Friends of Sea Turtles’ khusus untuk menyokong usaha-usaha pemeliharaan penyu di Taman Negara Teluk Bahang, dekat sini semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, program itu dianjurkan bersama KAO Group Penang dan Pertubuhan Nur Salam Wilayah Utara dengan kerjasama rakan-rakan agensi seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang dan banyak lagi.

Menurut beliau, program itu juga diadakan sempena Hari Kitar Semula Global yang disambut pada 18 Mac setiap tahun.

”Program ini turut disertai para sukarelawan daripada pelbagai agensi dan acara dimulakan dengan acara mendaki ke Pantai Keranchut untuk ke Pusat Konservasi Penyu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, antara aktiviti yang diadakan dalam program itu adalah penanaman pokok mempari dan kelapa pandan manakala 100 anak pokok merambong turut disemai untuk menggalakkan penyu bertelur di pantai itu.

Turut diadakan, ujar beliau, pemasangan empat unit lampu solar oleh Institut Kemahiran Mara (IKM) Seberang Perai Utara, penyerahan dua unit ‘hand blower’ untuk kegunaan Perhilitan Pulau Pinang.

“Selain itu, enam papan tanda dan satu ruang foto untuk tatapan pelancong yang berkunjung ke Pusat Konservasi Penyu turut dipasal hasil sumbangan Kao Group Penang,” katanya.

Tambah beliau, Jabatan Perikanan negeri turut memberikan sesi penerangan tentang pemeliharaan penyu kepada para peserta yang menyertai program berkenaan.

Malah, ujar beliau, para peserta juga amat bertuah kerana berpeluang menyaksikan anak penyu yang baru menetas keluar dari dalam tanah di kawasan sangkar yang telah disediakan oleh Jabatan Perikanan.

”Usaha pemeliharaan penyu adalah sangat bertepatan kerana ekosistem hidupan laut juga bergantung kepada fungsi penyu sendiri yang membantu mengawal pembiakan obor-obor yang merupakan makanan kepada salah satu spesis penyu.

”Marilah kita bersama-sama memastikan laut dan pantai kita tidak tercemar dengan sisa plastik yang mampu membunuh penyu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya