JOHOR BAHRU: Para peniaga di kawasan Kebayan dan Semai Niaga mendakwa mereka dipaksa menandatangani perjanjian sewaan premis milik Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang disifatkan berat sebelah.
Perkara itu didedahkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang turut mengakui menerima aduan daripada ramai peniaga di Pasir Gudang yang mengeluh atas keputusan MBPG menaikkan sewa premis perniagaan pada kadar antara 200 hingga 400 peratus.
Menurutnya, keputusan itu nyata menjejaskan seramai 226 peniaga terlibat yang menjalankan perniagaan di 18 kawasan Kebayan dan Semai Niaga milik MBPG.
“Para peniaga tersebut memaklumkan kepada saya bahawa mereka seakan-akan dipaksa menandatangani perjanjian baharu tersebut sebagai penyewa premis dengan MBPG.
“Saya telah melihat sendiri perjanjian sewaan tersebut yang saya anggap berat sebelah dan ditandatangani dalam keadaan terpaksa (undue influence).
“Memandangkan Ramadan bakal tiba dan diikuti dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, saya merayu kepada Datuk Bandar Pasir Gudang supaya mengkaji dan meneliti kembali keputusan MBPG menaikkan Kadar sewa premis perniagaan tersebut yang amat tinggi,” katanya.
Semalam, media melaporkan seramai 226 peniaga dari 18 kawasan Kebayan dan Semai Niaga di sekitar bandar raya Pasir Gudang terbeban dan hampir gulung tikar selepas MBPG menaikkan kadar sewa antara 200 sehingga 400 peratus sejak Januari lalu.
Dalam pada itu, Hassan berkata, para peniaga kecil Melayu yang berniaga di 18 kawasan Kebayan dan Semai Niaga itu tidak membantah sekiranya kenaikan sewa itu rendah dan munasabah kerana mereka baru sahaja memulakan perniagaan selepas hampir dua tahun terjejas akibat pandemik Covid-19. – UTUSAN










