220,000 tiket bas balik raya laris dijual

220,000 tiket bas balik raya laris dijual

ORANG RAMAI BERPUSU PUSU MEMBELI TIKET RAYA DI TERMINAL BERSEPADU SELATAN- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Setakat hari ini, sebanyak 220,000 tiket bas ekspres habis dijual bagi perjalanan balik ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri bagi tempoh 17 hingga 21 Apri dan pulang semula ke ibu negara pada 24 hingga 26 April.

Yang Dipertua Persatuan Bas Ekspress Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail berkata, melihat kepada sambutan tinggi tersebut daripada pengguna, maka akan ada penambahan bagi tiket dan bas.

“Terdapat 100 buah bas bakal disediakan bagi menambah jumlah 800 buah bas yang tersedia ada beroperasi untuk membawa penumpang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, katanya walaupun tiket bas dilihat tidak berlaku kenaikan harga, namun pengusaha bas dibenarkan untuk menaikkan tambang seba­nyak 10 peratus bermula daripada 19 hingga 30 April, seperti yang dibenarkan kerajaan.

“Ini adalah bertujuan bagi membantu operator bas yang bekerja pada musim raya, dimana banyak melakukan perjalanan jauh, dan terpaksa kembali ke bandar semula,” jelas Laili.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pe­ngusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Asfar Ali berkata, proses penjualan tiket bas berjalan dengan lancar.

Beliau memaklumkan terdapat permintaan yang tinggi daripada penumpang ke arah perjalanan menuju kawasan-kawasan Pantai Timur, berbanding dengan kawasan selatan Semenanjung.

Beliau menasihati orang ramai agar perlu membeli lebih awal supaya pihaknya mereka dapat menganggarkan berapa jumlah bas yang boleh disediakan.

“Jika jumlah penumpang yang telah dikenal pasti maka pihak dapat membuat permohonan daripada Agensi Pe­ngangkutan Awam Darat (APAD) bagi permohonan bas.

“Sebab itu bagi penambahan bas juga, kita perlu membuat pemeriksaan terhadap bas yang akan digunakan, insuran dan pemandu yang cukup,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam. Asfar Ali membe­ritahu jumlah pemandu bas ekspres sempena musim perayaan masih lagi berkurangan.

Justeru, katanya pihak PMBOA akan berusaha untuk mendapatkan pemandu bas tambahan sementara.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN