20,000 tiket KDA bertemu Terengganu terjual

20,000 tiket KDA bertemu Terengganu terjual

MOHD. Daud Bakar (dua kiri) merasmikan kaunter tiket bola sepak di Stadium Darul Aman yang akan dijual di Fantasia Aqua Park, Jitra di Kubang Pasu. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Perlawanan sulung Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di laman sendiri  menentang Terengganu FC, malam ini ibarat peringkat kalah mati apabila lebih 20,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Darul Aman di Alor Setar.

Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, kehadiran ramai penyokong itu merupakan satu bentuk kebangkitan baharu lautan hijau kuning di laman sendiri, musim ini.

Katanya, beliau bersama seluruh pihak pengurusan, pemain dan barisan kejurulatihan amat gembira, teruja dan bersyukur dengan sambutan diberikan penyokong.

“Ini adalah kebangkitan baharu lautan hijau kuning di bumi Darul Aman. Kemenangan demi kemenangan yang insya-Allah dicipta nanti akan membuatkan penyokong menjadi lebih ‘gila’ dan maju.

“Semangat itu yang mahu kita bawa. Malah kita juga mahu melihat stadium-stadium lain turut penuh dengan penyokong hijau kuning setiap kali kita beraksi di luar Kedah,” katanya dalam sidang akhbar di Fantasia Aquapark di sini, petang ini.

Terdahulu beliau mengumumkan kerjasama dijalin dengan taman tema air itu sebagai rakan strategik bagi penjualan tiket pada musim ini serta barangan rasmi KDA FC pada masa akan datang.

Sabtu lalu, skuad kendalian Nafuzi Zain meraih tiga mata pertama apabila menumpaskan Perak FC 4-1 dalam pertemuan yang menyaksikan pasukan tuan rumah terpaksa bermain dengan sembilan orang selepas dua pemain dilayangkan kad merah.

Mohd. Daud berkata, beliau bangga apabila semangat ditampilkan penyokong KDA FC turut mendapat perhatian daripada pengurusan pasukan lain termasuk Perak yang ditemui minggu lalu.

“Sewaktu di Ipoh tempoh hari, pengurus pasukan Perak hairan melihat ‘kegilaan’ penyokong kita. Walaupun cuma kira-kira 3,000 orang hadir ke stadium, namun sorakan dan sokongan diberikan menimbulkan suasana luar biasa dalam menaikkan semangat pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, KDA FC pada musim ini sudah mendapat komitmen berbentuk tajaan tunai berjumlah RM15 juta bagi menguruskan pasukan.

“Selain itu kita juga menerima komitmen berbentuk tajaan bukan tunai berjumlah kira-kira RM5 juta. Namun selepas ini kita terus berhasrat untuk ‘menghijau kuningkan’ banyak lagi perniagaan bagi memastikan ahli-ahli kelab penyokong dikenali sebagai ‘Kepak Kenari’ mendapat lebih banyak manfaat dalam segala aspek.

“Manfaat itu diharap boleh diperolehi dalam pelbagai bentuk perniagaan termasuk pendidikan, kesihatan dan hiburan. Kami akan usahakan agar ahli Kepak Kenari dan pemegang pas bermusim dapat memperolehi diskaun, barangan percuma atau setidak-tidaknya laluan khas di lokasi-lokasi tertentu sebagai satu bentuk keistimewaan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya