KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap 18,740 unit kuarters guru yang didapati kosong sehingga kini supaya tidak berlaku pembaziran.
Timbalan menterinya, Lim Hui Ying berkata, secara keseluruhan terdapat sebanyak 47,947 unit kuarters guru dengan 29,207 unit sedang diduduki dan bakinya tidak diduduki.
“Bagi kuarters guru yang tidak diduduki, kementerian telah melantik perunding hartanah bagi menjalankan kajian mengoptimumkan penggunaan kuarters guru tidak berpenghuni di seluruh negara.
“Skop kajian adalah merangkumi cadangan penyelesaian bagi mengoptimumkan kuarters kosong di seluruh negara. Kajian ini dijangka selesai pada akhir April 2023,” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat semalam.
Selain itu katanya, kementerian juga memberi fokus kepada kerja-kerja membaik pulih dan penyelenggaraan kuarters guru yang didiami berdasarkan tahap kerosakan yang kritikal seperti kerosakan bumbung, pendawaian elektrik, perpaipan, kerosakan tandas, kumbahan dan kerosakan struktur bangunan.
“Kerosakan kuarters yang melibatkan struktur akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kerosakan kuarters yang tidak melibatkan struktur akan dilaksanakan oleh kementerian. Pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa oleh JKR dan kementerian bagi memastikan skop kerja dipatuhi mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.
Akhbar ini pada 23 Julai tahun lalu melaporkan sebanyak 16,364 unit kuarters guru bernilai hampir RM1 bilion di seluruh negara terus terbiar sehingga menjadi sarang gejala sosial dan jenayah.
Anggaran nilai projek terbiar tersebut berdasarkan harga binaan bagi seunit kuarters sekitar RM50,000 sebuah. – UTUSAN










