1,700 artis terima bantuan

1,700 artis terima bantuan

DJ DAVE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 1,700 artis terdiri daripada penyanyi, pelakon dan pemuzik menerima bantuan daripada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) bagi menjaga kebajikan mereka.

Presiden YKAT, Datuk DJ Dave berkata, antara bentuk bantuan yang diterima ialah wang tunai yang diberikan secara one-off serta sumbangan khas lain sempena perayaan tertentu.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai lapan artis terpilih menerima pencen bulanan sebanyak RM500 kerana menghidap penyakit kronik seperti kanser sehingga menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.

“Antara penerima pencen tersebut ialah bekas pemain dram kumpulan rock legenda Search, arwah Yazit Ahmad yang menghidap penyakit buah pinggang.

“Selain itu, komposer ternama tanah air, Datuk Ooi Eow Jin yang menghidap penyakit Alzheimer sehingga menyebabkan dia terlantar atas katil serta beberapa artis lain yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Dalam masa sama, DJ Dave turut meluahkan kekecewaan selepas pihak yayasan tidak menerima sebarang bantuan daripada kerajaan sejak empat tahun lalu.

Namun katanya, sebagai Presiden dia berusaha memastikan bantuan terus diberikan kepada artis yang ditimpa masalah serta menguruskan kewangan dengan baik.

“Kita harap dan minta pihak kerajaan agar dapat meneruskan bantuan ini lagi. Kalau dulu sempena musim perayaan tertentu kita dapat bagi RM2,000 kepada artis terpilih, namun sejak pandemik Covid-19 lalu, kita terpaksa kurangkan bantuan kepada RM1,000.

“Masa Covid-19, kita tetap meneruskan bantuan dengan menghantar bantuan makanan ke rumah artis yang terjejas sumber pendapatan. Saya cuba kurangkan kos dengan dana sedia ada.

“Kami semua kerja secara pro bono (sukarela) tanpa sebarang bayaran atau gaji. Selain saya, pemegang amanah lain ialah Datuk M.Nasir, Datuk Nash, Datuk Yusof Haslam dan Datuk Nancie Foo,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN