KUALA LUMPUR: Kira-kira 3,000 individu didakwa menanggung kerugian mencecah RM830 juta selepas ditipu syarikat pelaburan yang berpangkalan di Hong Kong.
Modus operandi yang digunakan syarikat itu adalah dengan menawarkan dividen yang menarik sebanyak 15 hingga 17 peratus bagi menarik minat pelabur.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, semua mangsa terlibat dalam lima jenis pelaburan yang diperkenal oleh sebuah syarikat pengurusan pemasaran.
Katanya, mangsa memaklumkan bahawa mereka diperkenalkan dengan beberapa jenis tawaran pelaburan seperti melalui tabung amanah, pembelian saham, melalui short term note dan penerbitan sukuk.
“Kesemua pelaburan yang ditawarkan ini melibatkan tempoh masa tertentu manakala keuntungan atau dividen yang ditawarkan juga adalah sangat menarik antara 15 peratus setahun bagi pelaburan melalui sukuk dan pelaburan melalui tabung amanah.
“Bagi pelaburan melalui short term note, keuntungan yang dijanjikan adalah sebanyak 20 peratus sehingga ke 24 peratus setahun manakala bagi pelaburan melalui pembelian saham, dividen yang ditawarkan sebanyak 15 peratus sehingga ke 17 peratus setahun,” katanya dalam sidang akhbar bersama kira-kira mangsa penipuan pelaburan tersebut di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul, di sini hari ini.
Menurut Hishamuddin, masalah mula timbul apabila mangsa tidak lagi menerima bayaran.dividen serta keuntungan seperti dijanjikan.
“Lebih menyedihkan apabila wang pelaburan mangsa tidak dipulangkan semula oleh syarikat-syarikat terlibat.
“Pada masa sama mangsa dimaklumkan bahawa pihak pengurusan pemasaran yang memasarkan skim-skim pelaburan tersebut adalah pihak yang sama terlibat sebagai pengurusan syarikat yang telah menerima wang-wang pelaburan pelabur,” katanya..
Dalam pada itu, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan menyarankan kerajaan mewujudkan satu akta baharu dalam menghapuskan pelbagai elemen kegiatan jenayah penipuan termasuk pelaburan saham bagi mengelakkan lebih ramai rakyat menjadi mangsa.
Jelas beliau, langkah mewujudkan akta baharu berkaitan penipuan pelaburan itu juga sekali gus dapat memperkasa sebarang tindakan yang ada kelompongan.
“Siasatan terhadap kes penipuan pelaburan tidak harus hanya terletak pada bahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata namun membabitkan kolaborasi semua agensi penguatkuasaan yang berkaitan.
“Negara kita sememangnya mempunyai undang-undang berkaitan penipuan atau scammer ini namun masih ada kelompongan untuk sampai ke orang ramai atau mangsa.
“Sebagai contoh dalam sesuatu kes penipuan ia membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan dan bentuk penipuan yang berlaku ini membabitkan pelbagai elemen,” ujarnya.
Musa berkata, selain PDRM, sesuatu kes penipuan pelaburan boleh disiasat oleh agensi-agensi lain seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Bank Negara serta agensi berkaitan dengan sesuatu kes.
“Ini kerana polis akan menyiasat kes penipuan pelaburan yang dilaporkan namun pada masa sama agensi lain juga boleh mengambil tindakan pantas menyekat sesebuah syarikat pelaburan atau akaun mereka.
“Justeru, apabila suatu akta berkaitan tindakan penipuan pelaburan dan scammer ini dapat diwujudkan oleh kerajaan dalam Parlimen maka sesuatu tindakan akan mudah diambil.
“Ini termasuk membekukan akaun dan aset-aset mana-mana syarikat yang terbabit dengan scammer secara lebih pantas sekali gus memberi ketakutan kepada mereka yang ingin melakukan penipuan,” katanya. – UTUSAN









