11 warga asing ditahan bersama dadah ketika leka berparti - Utusan Malaysia

11 warga asing ditahan bersama dadah ketika leka berparti

TAN Cheng San dalam sidang akhbar di IPD SPT Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini berkenaan penahanan 11 warga asing yang ditahan bersama beberapa jenis dadah ketika sedang asyik 'berpesta' di sebuah kondominium di Bukit Tengah, Khamis lalu. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Seramai 11 warga asing berusia berusia antara 18 hingga 54 tahun ditahan bersama beberapa jenis dadah ketika sedang asyik ‘berpesta’ di sebuah kondominium di Bukit Tengah, di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima warga China termasuk seorang wanita serta enam wanita warga Vietnam.

Beliau berkata, serbuan terhadap kumpulan warga asing itu dilakukan kira-kira pukul 12.30 malam selepas menerima aduan awam termasuk daripada jiran yang mencurigai perbuatan mereka.

“Ketika serbuan dibuat, polis menjumpai tiga bungkusan plastik berisi serbuk dipercayai dadah jenis MDMA (methylenedioxymethamphetamine) seberat 117 gram bernilai RM5,850.

“Turut dijumpai ialah dua paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan dadah jenis ketamin seberat kira-kira 2.42 gram bernilai RM363 serta satu jag kaca berisi cecair disyaki dadah MDMA seberat 700ml (mililiter) yang bernilai RM500,”katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT), di sini hari ini.

Menurut Cheng San, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Siasatan mendapati, rata-rata suspek yang ditahan itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan majoriti daripada mereka masuk ke negara ini dengan menggunakan visa pelancong.

“Ada juga dalam kalangan suspek yang dipercayai telah berkahwin dengan orang tempatan atau dibawa masuk ke negara ini melalui teman lelaki yang dipercayai warga tempatan sebagai perempuan simpanan,” katanya.

Jelas beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua tangkapan direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini.

Ketika ini, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk untuk mengenal pasti sama ada suspek-suspek itu terlibat dengan kegiatan lain seperti sindiket penipuan atau ‘scam’ dan sebagainya.

Dalam pada itu, Cheng San berkata, sepanjang tahun ini sehingga Khamis lalu, pihaknya berjaya membuka sebanyak 628 kertas siasatan dan melakukan 967 tangkapan atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah.

Katanya, antara dadah yang dirampas termasuk heroin, ganja, syabu, ketamin, pil ekstasi, pil erimin, serbuk ekstasi dan air ketum dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM1.2 juta.

“Polis akan terus berusaha untuk memerangi kegiatan pengedaran dadah bagi memastikan ia dapat dibanteras secara habis-habisan,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya