Wujudkan kawasan papar budaya, seni warisan Melayu di KL

Wujudkan kawasan papar budaya, seni warisan Melayu di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disaran mewujudkan sebuah kawasan mengandungi segala aspek kehidupan yang mencerminkan seni budaya tinggi dan warisan Melayu di ibu negara.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, saranan itu dibuat kerana  tiada satu pun susunan budaya yang boleh menarik perhatian pengunjung luar dan dalam negara yang komprehensif mengandungi seni, cara hidup budaya tinggi, pertukangan tangan, muzik, seni teater dan makanan warisan Melayu atau Malay Cuisine.

Justeru, beliau percaya DBKL mampu merealisasikan hasrat tersebut untuk menaikkan taraf Bandaraya Kuala Lumpur yang menjadi tarikan utama pengunjung dalam dan luar negara.

“Kita ada Little India di Brickfields dan China Town di Jalan Petaling. Namun tiada satu pun kawasan khusus yang memaparkan budaya dan seni warisan Dunia Melayu untuk tatapan para pengunjung di Kuala Lumpur.

“Dunia Melayu yang mengandungi seni dan warisan seharusnya dapat dinikmati oleh para pengunjung yang datang ke Kuala Lumpur,” katanya semasa menerima kunjungan hormat daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah di bangunan Parlimen hari ini.

wakil rakyat
RAIS YATIM

Selain itu, Rais menyifatkan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan sekitarnya perlu ada sudut seni budaya dan warisan Melayu sekali seminggu serta menggalakkan persembahan teater yang boleh dikunjungi warga seni budaya.

“Ketiadaan restoran kelas tinggi yang menyajikan juadah Melayu harus diberi perhatian serius agar kuisin tempatan tidak ketinggalan,” katanya.

Pada masa sama, Rais akan  menyumbang kepada usaha tersebut menerusi Yayasan Budi yang diasaskannya seperti pameran seni budaya, pemuzik jalanan, pertunjukan seni budaya dan makanan warisan Melayu untuk dipertonton dan dinikmati oleh para pengunjung dan warga Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN