Wanita ‘tulang belakang keluarga’ setelah suami strok, bapa gout - Utusan Malaysia

Wanita ‘tulang belakang keluarga’ setelah suami strok, bapa gout

ZAIDAWATI Zainol membantu Azlan Ismail melakukan fisioterapi bagi memulihkan anggota badan yang lumpuh di rumah mereka di Kampung Selarong Panjang Kangkong, Alor Setar. – UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Berat mata memandang, tentu sahaja berat lagi bahu Zaidawati Zainol, 49, yang memikul setelah suami tempat dia bergantung harap kini lumpuh kaki dan tangan aki­bat serangan angin ahmar sejak tiga tahun lalu.

Walaupun berat, Zaidawati, seorang operator pengeluaran di sebuah kilang di Sungai Petani, terpaksa menerima kenyataan bahawa semua urusan menyara keluarga kini terletak di bahunya.

Lebih besar pengorbanan Zaidawati kerana selain terpaksa menyara dua anak yang masih belajar di universiti, dia juga harus menguruskan kedua ibu bapanya yang turut mempunyai masalah kesihatan.

“Mahu tak mahu terpaksa saya terima hakikat ini kerana keluarga bergantung kepada saya sahaja ketika ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Selarong Panjang Kangkong di sini.

Jelasnya, suami, Azlan Ismail, 53, yang lumpuh anggota kanan sebelum ini menyara mereka sekeluarga dengan menjual makanan sejuk beku.

“Dengan pendapatan kami berdua walaupun tidak banyak mana cukuplah untuk keluarga termasuk ibu dan bapa saya. Tetapi apabila suami kena strok, saya pikul tanggungjawabnya.

“Mak dan ayah juga tidak sihat. Mak ada masalah jantung, ayah pula sakit gout yang serius sehingga tak boleh bangun atau berjalan sendiri,” katanya yang sudah 23 tahun bekerja kilang untuk membantu keluarganya itu.

Katanya, kini dia berharap anaknya, Anuar, 25, yang baru sahaja menamatkan pengajian di universiti mendapat pekerjaan agar dapat meringan beban mereka sekeluarga tambahan lagi anak bongsunya, Azamuddin, 23, masih belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Perkara lain yang menjadikan Zaidawati bingung memikirkan masa depannya adalah keadaan keluarga itu apabila dia terpaksa bersara tahun depan setelah usia mencecah 50 tahun.

Dalam pada itu menurut ibunya, Halimah Hussein, 68, dia dan suami, Zainol Man, 76, bersimpati dengan nasib yang menimpa anak sulungnya itu yang kini terpaksa menanggung mereka sekeluarga.

“Rutin dia sebelum masuk kerja, dia akan siapkan suami­nya dulu. Saya juga risau kesihatannya yang ada darah tinggi. Saya cuma boleh tolong masak dan uruskan suami,” katanya.

Mereka yang bersimpati dan ingin membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumba­ngan ke akaun Maybank milik Zaidawati Zainol, 102027687503. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya