Wang RM120,000 milik peribadi biaya kempen politik - Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Wang RM120,000 milik peribadi biaya kempen politik – Syed Saddiq

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding bela diri terhadap empat pertuduhan melibatkan dana Armada RM1 juta. - UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, wang RM120,000 yang menjadi subjek dalam pertuduhan salah guna harta melibatkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bukan milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), sebaliknya merupakan hasil kutipan dua majlis meraih dana untuk kempen politik beliau.

Syed Saddiq, 30, berkata, dana itu diperoleh daripada ‘Majlis Makan Amal Muo’ di Muar, Johor dan ‘Fund-raising Battle for Johor’ di Ampang, Selangor pada 7 April dan 8 April 2018 bertujuan menampung perbelanjaan kempen beliau selaku calon Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sehubungan itu, bekas Ketua Armada tersebut menafikan wang dalam akaun Maybank atas nama Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) itu milik Armada mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Sepanjang tempoh berkempen, saya telah membelanjakan RM171,675 di mana RM120,000 daripada jumlah tersebut diambil kira sebagai wang yang telah diperoleh melalui kedua-dua program majlis meraih dana.

“Wang RM120,000 itu menjadi duit peribadi saya sendiri kerana wang daripada program majlis meraih dana telah saya gantikan dengan dana simpanan saya yang telah dibelanjakan untuk kempen peribadi semasa PRU14.

“Saya tidak menerima sebarang bantuan kewangan daripada Armada mahupun Bersatu sepanjang penganjuran kedua-dua program berkenaan,” jelas beliau ketika membacakan pernyataan saksi pada hari pertama prosiding bela diri bagi empat pertuduhan yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Muar itu didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ABBE dengan menyebabkan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Jelas Syed Saddiq, beliau mula mempromosikan diri di kawasan Parlimen Muar kira-kira dua bulan sebelum PRU14 menggunakan simpanan sendiri dengan melaksanakan kira-kira 10 program selain menubuhkan `Tema Saddiq’ bagi membantunya menjayakan program-program tersebut.

Menurut beliau, selaku pendakwaan pertama, akaun Maybank ABBE itu pada asalnya dibuka untuk mengumpul dana sumbangan melalui penjualan cenderahati namun beliau tidak mempunyai akses terhadap akaun tersebut.

Menurut saksi pendakwaan pertama itu, akaun tersebut malah bukan akaun rasmi Armada Pusat mahupun Bersatu sebaliknya dikawal oleh Rafiq Hakim kerana perniagaan jualan cenderhati itu didaftarkan atas nama beliau selaku pemilik tunggal.

Jelasnya, ‘Team Saddiq’ mencadangkan akaun baharu dibuka atas nama ‘Saddiq Enterprise’ namun ia mengambil masa lama untuk diselesaikan.

Katanya, Rafiq Hakim kemudian mengesyorkan akaun Maybank ABBE digunakan untuk menyalurkan sumbangan orang ramai daripada program meraih dana tersebut dan kutipan diperoleh bermula sekitar Mac 2018 hingga Mei 2018 dan berjaya mengumpul sebanyak RM120,000.

Menurut Syed Saddiq, beliau kemudian mengarahkan Rafiq Hakim memindahkan wang RM120,000 itu bagi menggantikan wang peribadi yang telah digunakan sebelum ini untuk kempen pilihan raya.

Berhubung pengeluaran wang tunai RM1 juta yang menjadi subjek dalam pertuduhan pertama, Syed Saddiq menyatakan, beliau tidak pernah mengarahkan Rafiq Hakim membuat pengeluaran wang daripada akaun rasmi Armada Pusat.

Katanya, pimpinan G5 Armada pernah membincangkan pengeluaran wang untuk persiapan menghadapi wabak Covid-19 dan sambutan Aidilfitri 2020, namun jumlah RM1 juta langsung tidak dibincangkan ketika itu.

“Saya menafikan tindakan Armada memberikan bantuan tersebut sebagai usaha saya untuk meraih kesempatan politik (political mileage) dalam kerjaya politik,” katanya sesi soal balas yang dikendalikan oleh peguam Haijan Omar.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Bagaimanapun Syed Saddiq menafikan tuduhan itu dan menyatakan kedua-dua transaksi berjumlah RM100,000 itu merupakan wangnya sendiri yang dibelanjakan daripada program meraih dana untuk kempen politik.

“Saya juga telah mengisytiharkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa sepanjang tempoh kempen PRU14, saya telah membelanjakan sebanyak RM171,675 iaitu melalui dana pengeluaran ASB, sumbangan Sinar Harian dan hasil perolehan program majlis meraih dana,” katanya.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Syed Saddiq didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan salah guna harta, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan pengubahan wang haram pula mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya