Wang Kelian, Kaki Bukit antara produk pelancongan terbaik Perlis - Utusan Malaysia

Wang Kelian, Kaki Bukit antara produk pelancongan terbaik Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) berkenan melawat beberapa lokasi menarik sekitar Kaki Bukit dan Wang Kelian di Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR : Terdapat pelbagai produk menarik sedia ada di sekitar Kaki Bukit dan Wang Kelian di sini yang mampu diintegrasikan sebagai satu produk pelancongan yang terbaik.

Ketua Projek Team Roots & Shoots Malaysia, Peter Ong berkata, antaranya pekan Kaki Bukit yang mempunyai tarikan-tarikan tersendiri berunsurkan sejarah, tempat ibadat, keunikan dan keindahan semula jadi.

Katanya, keunikan dan kepelbagaian biologi di Taman Negeri Perlis khususnya Wang Kelian mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri ini.

“Misalnya, jalan Tasik Meranti berpotensi untuk dijadikan sebagai ‘heritage trail’ bagi pengemar ‘hiking’ atau berbasikal untuk menikmati keindahan hutan hujan tropika selain boleh menjalankan hobi memerhati hidupan liar,” katanya ketika mempersembah maklumkan perkembangan itu kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena sesi taklimat kemajuan Projek Warisan Budaya di Wang Kelian di Kompleks Taman
Negeri Perlis di sini hari ini.

Mengiringi baginda bagi melihat sendiri perkembangan pelaksanaan projek buku, pameran dan dokumentari oleh pihak Roots & Shoots Malaysia melalui pengumpulan maklumat gambar-gambar dan teaser video
yang ditayangkan tersebut ialah anakanda sulung baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad.

Tuanku Syed Faizuddin terdahulu berkenan melawat empat lokasi menarik iaitu Tokong Kaki Bukit, Pekan Sayur, Jalan Tasik Meranti dan Kem Hujan-Hujan Gua Kelam.

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) berkenan melawat beberapa lokasi menarik sekitar Kaki Bukit dan Wang Kelian di Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN

Baginda turut berkenan ke kedai makan Dapur Kak Neng yang beroperasi di Kampung Wang Kelian yang memiliki panorama indah berlatar belakangkan sawah padi dan Banjaran Nakawan.

Selain itu, baginda juga berkenan singgah menyaksikan aktiviti ‘Jiwa Murni’ yang disempurnakan oleh Rejimen 504 Askar Wataniah diketuai oleh Timbalan Komandernya, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan negeri, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni memaklumkan mengenai pembangunan Pusat Kepelbagaian Biologi Negara Wang Kelian oleh Jabatan Perhutanan negeri melalui peruntukan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bermula tahun 2021–2023.

“Objektif utama penubuhan pusat ini ialah untuk merungkai kepelbagaian biologi di Taman Negeri Perlis dan seterusnya di dokumenkan yang akan menjadi bahan rujukan kepada para penyelidik di masa hadapan.

“Pusat ini menggalakkan aktiviti penyelidiakan dan pembelajaran dan untuk menjadikan Wang Kelian sebagai rujukan sumber kepelbagaian biologi di zon utara tanah air,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya