Universiti diarah beri pelajar kebebasan bersuara - PM

Universiti diarah beri pelajar kebebasan bersuara – PM

PRESIDEN Sterling Management Group, Inc, Virginia USA, Dr. Yacub Mirza (dua dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Rektor IIUM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (dua dari kanan), sambil disaksikan oleh Anwar Ibrahim dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Pelajar Antarabangsa Abu Sulayman di UIAM, dekat Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesemua universiti dan institusi pendidikan di negara ini diarahkan supaya memberi kebebasan bersuara kepada pelajar terutamanya dalam soal mengkritik mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri dan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasratnya itu telah disampaikan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bagaimanapun, katanya, kebebasan bersuara itu tidak harus disalah gunakan oleh pelajar untuk memberikan sebarang pandangan melampau sehingga boleh mengancam keharmonian negara.

“Buka ruang terutama kepada institusi pendidikan tinggi supaya universiti buka ruang lebih segar untuk pelajar memberi pandangan.

“Melainkan hal-hal yang mencerca ataupun perkauman atau pandangan yang melampau, yang lain-lain itu dibebaskan termasuk teguran dan kritikan terhadap Perdana Menteri atau kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau hadir pada majlis penyampaian dana tambahan bernilai RM1.29 juta daripada keluarga bekas rektor UIAM, Allahyarham Prof. Emeritus Dr. Abdul Hamid Abu Sulayman untuk disumbangkan kepada Tabung Pelajar Antarabangsa Abu Sulayman (AISF) bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.

Anwar ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut menyifatkan, universiti dan institusi pendidikan tinggi negara gagal memberikan ruang kepada pelajar untuk berfikiran kreatif dan berminda kritikal.

“Tinggalkan cara lama yang lapuk institusi pendidikan dan menggalakkan pelajar menggunakan hak mereka untuk menjadi kritikal.

“Dengan syarat ia tidak digunakan untuk mengkritik perkara remeh melalui TikTok. Kritikan mestilah melalui wacana akal, kena tambah kefahaman, kena belajar…lihat kritikan lain sebelum mengkritik dan perbaiki kritikan kita,” katanya.

Namun, katanya, universiti dan institusi pendidikan tinggi tidak boleh membiarkan jika ada pelajar yang menyalahgunakan kebebasan bersuara dengan memainkan isu perkauman dan agama.

“Kamu boleh menjadi kritikal, tetapi kamu tidak boleh mengisytiharkan siapa Islam siapa bukan, siapa yang supreme siapa yang masuk penjara, siapa yang masuk syurga atau neraka…ini telah menjadi naratif di negara ini.

“Jika kritikan itu kuat dan menarik, universiti mesti membenarkannya jika ia berdasarkan fakta dan alasan yang munasabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN