Tuntutan Waris Sulu ditolak: Usah terlalu gembira

Tuntutan Waris Sulu ditolak: Usah terlalu gembira

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia masih belum boleh bergembira dengan keputusan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan perlembagaan luar biasa difailkan sekumpulan individu yang mendakwa diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana negara masih mempunyai kes di Paris dan mereka tidak menerima keputusan Sepanyol itu.

“Itu ada kelemahan dari sudut Konvensyen New York 1958 kerana konvensyen itu menghormati undang-undang setiap negara, sepatutnya dipusatkan, kalau sesuatu negara dikatakan pelantikan penimbang tara itu tidak sah, sepatutnya diterima negara lain sebab ada lebih 160 negara menandatangani konvensyen itu.

“Jadi dalam keadaan ini, Malaysia masih berhadapan dengan tuntutan itu, walau sudah dianggap tidak sah di negara dia (Dr. Gondoza Stampa) sendiri, tetapi masih bawa di negara Perancis.

“Jadi dengan keadaan sedemikian sepatutnya kalau ada berpusat sebab satu keputusan itu mengikat semua pihak, maka dia tak boleh bawa. Walaupun Sepanyol sudah tolak, jadi kita berharap kejayaan kita akan berterusan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selasa lepas, media melaporkan, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan perlembagaan luar biasa difailkan sekumpulan individu yang mendakwa diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu berhubung pembatalan pelantikan Dr. Gondoza Stampa sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian antara Malaysia dan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan perkara itu selepas kerajaan menerima pengesahan rasmi bahawa rayuan perlembagaan difailkan penuntut itu ditolak dan pembatalan pelantikan Stampa (yang sudah muktamad dan mengikat) turut disahkan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol.

Ahli Parlimen Pengerang itu turut memaklumkan, Mahkamah Perancis menangguhkan penguatkuasaan anugerah diberikan Stampa, sementara menunggu keputusan kehakiman daripada tindakan Malaysia untuk mengetepikannya atas dasar bahawa penguatkuasaan itu mungkin mengancam kedaulatan Malaysia ke atas wilayah Sabah.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi menyarankan Kementerian Luar Negeri terutamanya digesa supaya tidak mengambil mudah apabila menerima notis daripada mana-mana pihak berhubung arbitrasi, maka perlu diserahkan kepada Peguam Negara (AG).

“Jangan simpan dalam fail, jangan fikir benda ini remeh dengan ambil pandangan sendiri, tetapi dapatkan pandangan daripada pakar sama ada daripada kementerian sendiri atau AG.

“Kita masih berhati-hati dengan semua ini sebab dulu salah satu kelemahan kita buat adalah tidak menerima cabaran mahkamah, dokumen itu kita ambil mudah saja.

“Jabatan Peguam Negara (AGC) ada kepakaran sendiri dan kita juga ada jawatankuasa yang boleh diambil pengetahuan, kepakaran dan idea mereka kerana nama-nama besar dalam hal arbitrasi ada duduk dalam itu,” jelasnya.

Pada 29 Jun 2021, Mahkamah Tinggi Madrid (HCJM) memutuskan membatalkan pelantikan kehakiman Stampa yang menyalahi undang-undang untuk bertindak sebagai penimbang tara.

HCJM merupakan mahkamah Sepanyol yang pada mulanya melantik Stampa pada 2019 (tanpa mendengar Malaysia berikutan perkhidmatan yang tidak sah).

Hasilnya, HCJM secara retroaktif membatalkan pelantikan beliau dan membatalkan semua tindakannya sebagai penimbang tara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN