PETALING JAYA: Kira-kira tujuh lagi mayat ditemukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) semalam, susulan tragedi gempa bumi di Turkiye baru-baru ini.
Kesemua mayat berkenaan ditemukan terperangkap di dalam runtuhan bangunan oleh pasukan penyelamat kedua Malaysia (MAS-10) pada 5.55 petang waktu tempatan.
Dalam perkembangan terbaharu yang dikongsi di Facebook Smart, kesemua mangsa ditemukan dan dikeluarkan Charlie 01 dan Delta 01.
Bagaimanapun, menerusi perkembangan itu, SMART terpaksa menangguhkan SAR berikutan cuaca yang melampau.
“Atas faktor keselamatan pasukan, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada pukul 7.50 petang, berikutan cuaca yang juga semakin sejuk,” kata hantaran itu.
Kejadian gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lalu, meragut 34,000 nyawa setakat ini.
Pasukan MAS-01 berlepas dari Malaysia pada minggu lalu, manakala pasukan kedua MAS-02 terdiri daripada JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan SMART. – UTUSAN