PETALING JAYA: Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) atau MAS-01 menemukan lima lagi mayat mangsa runtuhan di kawasan operasi di Gaziantep, Turkiye.
Kelima-lima mangsa itu terdiri daripada tiga lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan kesemua mangsa ditemukan dalam pencarian di kawasan bangunan tujuh tingkat, Nurdagi, Gaziantep.
“Dalam operasi pencarian ini pasukan MAS-01 menggunakan kaedah cutting and breaking menggunakan peralatan khas pasukan SMART.
“Operasi amat rumit dan berbahaya memandangkan struktur tidak stabil dan kesemua mangsa yang ditemukan meninggal dunia,” katanya dalam laman rasmi Facebook Nadma.
Terdahulu, MAS-01 menemukan tiga mangsa di bangunan tujuh tingkat namun disahkan meninggal dunia. – UTUSAN