Tiga sindiket tumpas, dadah RM2.1 juta dirampas

Tiga sindiket tumpas, dadah RM2.1 juta dirampas

AZMI Abu Kassim menunjukkan botol minuman yang telah dicampurkan dengan dadah ketamin. - FOTO/M FIRDAUS M JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur berjaya mematahkan kegiatan tiga sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan dengan menahan 12 individu menerusi 10 serbuan di sekitar ibu negara bermula 7 sehingga 9 Februari lalu.

Hasil serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur itu turut berjaya merampas dadah bernilai RM2.1 juta. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua mereka yang diberkas terdiri 10 lelaki tempatan dan dua wanita termasuk seorang daripadanya warga asing berusia antara 22 sehingga 39 tahun.

Kata beliau, lima daripada tangkapan itu merupakan ‘doktor’ pusat hiburan yang berperanan sebagai pakar bancuh dadah ketamin ke dalam air minuman.

Azmi berkata, modus yang digunakan sindiket ini adalah dengan mencampurkan dadah-dadah berkenaan ke dalam minuman sebelum dijual kepada pengunjung pusat hiburan.

“Kesemua jus-jus berkenaan akan dijual dengan harga RM300 bagi setiap botol,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas mengenai tangkapan yang dilakukan, Azmi berkata, menerusi serbuan pertama seramai enam lelaki tempatan ditahan di Kuala Lumpur dan Selangor. 

Ujarnya, turut dirampas iaitu dadah bernilai RM1.3 juta dan pelbagai barangan seperti barang kemas, kenderaan dan wang tunai bernilai RM 432,350.

“Susulan itu, operasi kedua telah dilakukan pada keesokannya sebelum menahan lima lagi individu di sekitar Kuala Lumpur.

“Hasil tangkapan itu, kita telah merampas dadah bernilai RM224,000 dan wan tunai dan kenderaan bernilai RM 548,383,” jelasnya.

Kata Azmi, serbuan ketiga pula dilakukan pada 8 Februari di sebuah tempat letak kereta di ibu negara sebelum menahan seorang lelaki. 

“Hasil tangkapan terakhir ini, kita berjaya merampas dadah bernilai RM55,000 dan kenderaan bernilai RM40,000,” katanya.

Tambah Azmi, kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. 

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan ahli-ahli sindiket yang terlibat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN