Tiga ADUN Warisan keluar parti jadi ADUN Bebas

Tiga ADUN Warisan keluar parti jadi ADUN Bebas

IBU PEJABAT Warisan di Kolombong, Kota Kinabalu, Sabah.-UTUSAN/SURAIDAH ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) kembali goyah apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan keluar daripada parti berkenaan hari ini.

Tiga ADUN berkenaan ialah Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).

Pengumuman itu dilakukan menerusi satu rakaman video tular yang berdurasi 1 minit 26 saat.

Menerusi rakaman video tular itu, Ketua Wanita Warisan itu dilihat mengetuai ketiga-tiga ADUN berkenaan membuat kenyataan bersama hari ini.

Norazlinah berkata, keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira segenap sudut serta hala tuju perjuangan parti Warisan termasuk pandangan akar umbi di kawasan DUN yang diwakili.

“Kami dengan ini mengisytiharkan keluar parti Warisan dan memilih berkhidmat sebagai ADUN Bebas serta menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua menteri.

“Seiring dengan itu, kami melepaskan semua jawatan dalam parti sama ada di peringkat bahagian atau peringkat Ahli Majlis Tertinggi.

“Malah, kami berpandangan bahawa sudah tiba masanya polemik politik dan juga sebarang tindakan untuk mewujudkan ketidakstabilan kepada kerajaan perlu dihentikan,” katanya dalam video tular berkenaan.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih dan memohon maaf kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, rakan-rakan dan juga penyokong-penyokong parti Warisan.

Pada 16 Januari lalu, Norazlinah menafikan beliau keluar parti selepas ada desas-desus mengaitkan namanya antara enam ADUN Warisan yang didakwa akan keluar parti.

Sebelum ini, enam ADUN Warisan telah bertindak keluar dari parti dan menyertai parti lain iaitu Datuk Hassan A. Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Rina Jainal (Kukusan).

Keputusan tiga ADUN Warisan itu keluar parti, Warisan kini hanya mempunyai 16 kerusi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya